KOTA BHARU: Seorang ahli jawatankuasa tertinggi Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia (MFMP) direman selama dua hari mulai hari ini di Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Hafizul Awang bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan pergaduhan di khalayak ramai baru-baru ini.

Sebelum itu, suspek ditahan polis di satu kawasan di Binjai, di sini pada jam 7 pagi Isnin.

Akhbar pada 5 Mac lalu melaporkan polis mencari suspek dan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Selain siasatan bagi kes pukul dan ugut, polis juga menyiasat kes mendatang kecederaan dan pecah rumah yang dipercayai dilakukan di daerah ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.


https://www.sinarharian.com.my/article/653936/berita/semasa/kes-pukul-ugutan-jenayah-ajk-tertinggi-mfmp-direman-tiga-hari