Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mulai hari ini melaksanakan pemvaksinan anjing-anjing bertuan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak susulan kes rabies atau penyakit anjing gila dikesan di kawasan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam bagaimanapun berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kawasan jangkitan terhad kepada satu kampung sahaja.

Menurutnya, aktiviti pemvaksinan dilaksanakan dalam lingkungan 1km radius daripada kes tersebut dikesan.

Kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada Khamis lalu bahawa anjing miliknya telah mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya.

"Selepas lima hari mengigit mangsa, anjing tersebut didapati menunjukkan tanda klinikal seperti tiada selera makan dan mengasingkan diri.

"Seterusnya muntah, demam serta mengalami kekejangan di kaki hadapan dan belakang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) kemudiannya mengesahkan sampel otak anjing tersebut positif virus Rabies melalui ujian yang dijalankan pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua mangsa gigitan anjing tersebut telah dibawa ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus.

"Kedua-dua mangsa kemudian dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di hospital untuk menunggu pengesahan bagi memulakan suntikan vaksin," katanya.

Jelasnya, jangkitan Rabies pada anjing tersebut berkemungkinan adalah melalui gigitan "rabid dog" yang dibawa di dalam bot oleh warga asing dari negara-negara jiran memandangkan Kuala Sepetang merupakan kawasan pelabuhan pendaratan ikan.

Beliau menyifatkannya sebagai "kes terpencil" dan tiada kaitan dengan kes rabies di Sarawak.

Menurutnya, anggaran populasi anjing bertuan di kawasan Kuala Sepetang adalah sebanyak 120 ekor manakala anjing liar sebanyak 50 ekor.

Selain pemvaksinan anjing bertuan, Dr Quaza Nizamuddin berkata, DVS turut melaksanakan kerja-kerja memusnahkan anjing yang menunjukkan tanda klinikal penyakit dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengambil sampel daripada kepala anjing.

Katanya, survelan penyakit akan turut dijalankan dalam lingkungan 10km radius dari lokasi jangkitan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada anjing liar atau anjing tidak bertuan bagi mengelak digigit anjing.

"Jika digigit anjing, basuhkan luka dengan air dan sabun secepat mungkin. Selepas itu terus ke klinik kerajaan atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya

Dr Quaza Nizamuddin juga meminta pemilik haiwan kesayangan agar tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka bebas berkeliaran selain melaporkan kepada PBT atau pejabat DVS jika ada anjing berkeliaran di kawasan tersebut.