BUTTERWORTH: Kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon akan disebut semula 28 Mei depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth Ahmad Azhari Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memerlukan masa selama tiga bulan bagi meneliti lebih 100 dokumen bercetak yang sudah diterima daripada pihak pendakwaan pada Selasa lalu.

Peguam, RSN Rayer dan A. Ruben Kumar yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa  untuk meneliti dokumen setebal lebih 1,000 muka surat itu dan bagi menasihati tertuduh.

Pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Shafiq Hasim  dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul juga tidak membantah permohonan dibuat.

Sementara itu, pihak pembelaan turut menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan penuh) dalam tempoh terdekat.

Pada prosiding itu kesemua tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Pada 11 Ogos tahun lepas, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru  dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georget Town dekat sini di antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Di mahkamah sama, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di lokasi dan tempoh yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah sama, Gek Cheng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,000 hasil daripada aktiviti haram.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam didakwa menerima wang itu daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad yang didakwa dilakukan antara Oktober 2013 hingga Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Gek Cheng didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 (Akta 613).