Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terdedah kepada unsur-unsur politik.

Saksi pendakwaan ke-10, bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman berkata, atas faktor itu pegawai-pegawai dalam syarikat itu tidak mahu menggantikan beliau sebagai CEO.

Namun demikian Mohd Hazem tidak menjelaskan secara terperinci mengenai kenyataannya berhubung unsur-unsur politik yang dimaksudkan.

Katanya, berikutan itu juga beliau meminta bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk memberitahu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, supaya mencari calon untuk menggantikannya.

"Selepas pulang daripada menunaikan haji di Makkah pada Oktober 2014, saya telah menyampaikan hasrat untuk berundur," katanya ketika memberi keterangan semasa prosiding kes rasuah 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sini hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Saksi itu memberi keterangan tersebut sebelum dia selesai membaca pernyataan saksi bertulis setebal 110 halaman.

Mohd Hazem dalam keterangan juga memberitahu, pada 3 Januari 2015 selepas kembali daripada bercuti, Azlin memaklumkannya ada calon untuk menjawat jawatan Penolong CEO, dan dirinya diminta untuk meneruskan jawatan sebagai CEO sehingga anak syarikat semua IPP di 1MDB, Edra Energy disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Apabila Arul Kanda Kandasamy melapor diri sebagai Presiden 1MDB, saya merasakan ia adalah masa yang tepat untuk meletakkan jawatan sebagai CEO," katanya lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung semula pada 5 Oktober depan.