KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini terpaksa menangguhkan perbicaraan rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor kerana peguam utamanya disahkan positif COVID-19..

Perbicaraan kes yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditangguhkan kepada 23 Feb nanti.

Di awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memaklumkan kepada hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan bahawa Akberdin Abdul Kader disahkan positif COVID-19.

Manakala dua lagi peguam bela, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork, mempunyai kontak rapat dengan Akberdin dan dikehendaki menjalani kuarantin kendiri.

Hakim kemudiannya memaklumkan bahawa mahkamah sebelum ini telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit yang memohon prosiding hari ini ditangguhkan berikutan dirinya dan seorang lagi rakannya dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, mahkamah diberitahu bahawa Rosmah memfailkan permohonan untuk memanggil semula saksi utama pendakwaan ke-17, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan menjawab afidavit permohonan itu selewat-lewatnya Khamis ini.

Mahkamah | Perbicaraan kes rasuah libat Rosmah ditangguhkan


Rosmah, 70, isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri, berikutan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah juga berdepan kes pengubahan wang haram RM7 juta dan pengelakan cukai yang belum selesai yang masih belum dibicarakan sepenuhnya.