KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga saksi ke-95 memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa siasatan SPRM mendapati proses penukaran wang tunai kepada cek bernilai RM7.5 juta membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah aktiviti 'mencuci duit' dari sumber meragukan.

Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, dalam pemeriksaan semula menjelaskan, siasatan yang dijalankan terhadap pengurup wang, Omar Ali Abdullah, menunjukkan bahawa saksi pendakwaan ke-81 itu tidak mengenali individu yang memberi wang untuk ditukarkan kepada cek.

"Omar Ali mengatakan bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia adalah arahan dari Datuk Seri Zahid," jelasnya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery On.

Mengikut pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7.5 juta melibatkan 35 keping cek.

Kesemua cek tersebut diserahkan kepada Lewis & Co bagi pembelian simpanan tetap di Malayan Banking yang merupakan hasil aktiviti haram.   

Ditanya mengenai hasil siasatan wang sumbangan adalah daripada Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee menjelaskan sepanjang siasatannya tidak menemui resit berkaitan sumbangan yayasan itu.

Timbalan Pendakwa Raya: Secara spesifik, mengapa tiada percakapan diambil Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary atau mana-mana (ahli) dari Yayasan Al-Bukhary?

Saksi: Tidak rakam percakapan dari Tan Sri (Syed Mokhtar) kerana Omar Ali kata, dia tidak kenal orang yang beri duit itu. Dia cuma kata ada orang pakaian kemas dan ia arahan dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pendakwa Raya: Selain keterangan Omar Ali itu, apakah punca atau yang membuatkan anda putuskan untuk tidak pergi dalam untuk siasatan Yayasan Al-Bukhary?

Saksi: Antara punca Omar tidak kenali orang yang beliau terima duit, selain tu Omar siasat cek yang dibuat oleh kawan-kawan untuk masuk ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

BACA: Zahid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan libatkan cek bernilai RM7.5 juta

BACA: Kronologi kes rasuah Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi

Kes Rasuah | Zahid mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan

Timbalan Pendakwa Raya: Selaku Pegawai Penyiasat, dah ambil keterangan Omar Ali dan pengeluar cek? Lihat secara keseluruhan siasatan anda.

Saksi: Sebagai pegawai penyiasat, saya lihat bahawa ini proses 'mencuci duit' dari sumber-sumber dari akaun.. 'cuci duit' ialah dari sumber meragukan.

Timbalan Pendakwa Raya: Adakah hasil siasatan dapati wang dari Yayasan Al Bukhary?

Saksi: Tidak.

Timbalan Pendakwa Raya: Adakah selepas Omar Ali bagi keterangan, anda dihubungi orang dari Yayasan Al Bukhary?

Saksi: Tidak.

Timbalan Pendakwa Raya: Sepanjang siasatan, ada mana-mana saksi beritahu sumbangan dari Yayasan Al Bukhary?

Saksi: Tidak sepanjang siasatan, tidak ada jumpa resit dari Yayasan Al Bukhary.

Terdahulu, ditanya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dari pasukan pembelaan dalam pemeriksaan balas, Mohd Fahmee tidak menjawab soalan sama ada dia mengetahui Omar Ali memberi keterangan bahawa sumber wang tersebut adalah derma dari Yayasan Al Bukhary.

Dia turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa intipati pertuduhan pengubahan wang haram adalah daripada mana sumber wang tersebut.

Malah beliau juga bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa Yayasan Al Bukhary adalah sebuah yayasan yang besar dan kukuh.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan diteruskan dengan saksi ke-96 memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.