KOTA BHARU: Indeks jenayah rogol, bunuh dan curi kereta di Kelantan meningkat dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes rogol meningkat daripada 82 kes kepada 108 kes, manakala jenayah bunuh naik daripada enam kes kepada sembilan kes.

Menurutnya, jenayah curi kereta pula meningkat daripada 97 kes tahun lalu kepada 119 kes.



Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sijil kepada Inspektor Azman A Radzi (dua dari kanan) dari Cawangan Siasatan, Perundangan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di IPK pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata, statistik keseluruhan jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus atau pengurangan 164 kes dengan rekod berjumlah 1,688 kes berbanding 1,852 kes sebelum ini.

“Bagi jenayah kekerasan melibatkan rogol dan bunuh meningkat tetapi samun berkumpulan serta bersenjata turun kepada 38 kes berbanding 57 kes, manakala samun bersenjata api sebanyak 51 kes berbanding 55 kes sebelum ini.

"Sementara itu, jenayah kekerasan melibatkan kecederaan turun kepada 122 kes daripada 138 kes.

“Bagi jenayah harta benda pula hanya curi kereta meningkat manakala curi motosikal menurun kepada 472 kes daripada 497 kes. Curi van, lori dan jentera berat turun daripada 12 kes kepada lapan kes dan pecah rumah mencatat 368 kes berbanding 401 kes,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Ahad.

Turut disampaikan sijil penghargaan kepada anggota yang cemerlang dan ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep).



Muhamad Zaki berkata, pemerhatian khusus akan diberikan kepada kes-kes jenayah seksual yang berlaku di negeri ini kerana banyak melibatkan individu bawah umur dan pelajar sekolah.

Katanya, pihak polis di kontinjen itu turut akan membincangkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) yang melancarkan Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah dalam pembentukan adab, akhlak dan integriti pelajar.

“Kami juga ada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada kalangan polis yang memainkan peranan dalam usaha mencegah perlakuan kes jenayah membabitkan pelajar.

“Ada mangsa jenayah seksual yang diambil keterangan, tidak benar-benar tahu akan akibat kesalahan itu dan ini tanggungjawab semua untuk memberikan pemahaman serta pengetahuan supaya mereka menjauhi jenayah ini,” kata beliau.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian