KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella memerlukan rawatan kecemasan ketika dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pakar Bedah Plastik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmi Mohamed Shukor, 46, bagaimanapun berkata Bella yang mengalami lecur pada bahagian tangan kiri dan kanan, tidak mengalami demam panas atau sawan ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam Asiah Abdul Jalil yang mewakili Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Asiah: Saya cadangkan semasa Bella jumpa doktor, kesnya bukan kecemasan.

Dr Salmi: Tidak setuju, ia kes kecemasan.

Terdahulu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Dr Salmi memberitahu mahkamah kemungkinan besar kecederaan Bella disebabkan oleh air panas.

Jelas saksi, bagaimanapun Bella tidak secara langsung memaklumkan mengenai punca melecur yang dialaminya kepada beliau.

Dalam pada itu, Asiah turut bertanyakan adakah Dr Salmi semasa sesi rawatan ada melihat Bella mengopek kulit kepalanya.

Saksi itu kemudian memberitahu tidak melihat Bella berbuat demikian.

Selain itu, beliau bersetuju dengan cadangan Asiah bahawa tindakan membotakkan kepala merupakan salah satu rawatan sekiranya terdapat luka di kepala.

Dalam masa yang sama, Dr Salmi turut menafikan gambar kecederaan Bella yang tersebar di laman sosial adalah milik beliau atau pasukannya.

“Ini bukan gambar saya… ini bukan gambar saya (dan) bukan daripada pasukan,” katanya ketika dirujuk oleh Asiah berhubung gambar tersebut.

Terdahulu, peguam Nur Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun turut bertanya kepada Dr Salmi sama ada beliau sedar kecederaan yang dialami oleh Bella pada pertama kali berlaku pada 22 Mei 2021.

Dr Salmi berjawab ‘tak’, sebelum beliau dirujuk beberapa keping gambar, yang antaranya Nur Hafidzah mencadangkan terdapat kesan parut pada leher.

Dr Salmi mula merawat Bella pada 26 Jun 2021.

BACA: Bella melecur, kemungkinan besar berpunca dari air panas - Pakar bedah plastik

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.