KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap Datuk Zuraida Kamaruddin selesai apabila bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Zuraida, 65, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani berkata beliau telah menyatakan beberapa kenyataan terhadap Saifuddin Nasution, yang merupakan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, dalam suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance di sini, 8 Dis 2019.

"Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

"Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau," kata Zuraida.

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Terdahulu, peguam Navpreet Singh mewakili Saifuddin Nasution selaku plaintif yang dikecualikan kehadirannya hari ini berkata plaintif dan defendan (Zuraida) telah mencapai penyelesaian melalui penghakiman persetujuan dan hari ini ditetapkan untuk merekodkan terma-terma persetujuan tersebut.

Menurut Navpreet, plaintif menarik balik writ serta pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan manakala defendan menarik balik pernyataan pembelaan.

"Selain itu, defendan menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut dan bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf secara lisan di mahkamah hari ini.

"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penghakiman ini menjadi penyelesaian penuh serta muktamad dan guaman ini (kes saman) dibatalkan dan plaintif serta defendan tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula," kata peguam itu dan menambah tiada perintah terhadap kos.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Zuraida mengesahkan perkara itu.

Zuraida ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kes tersebut telah diselesaikan secara baik.

Saifuddin Nasution, 58, memfailkan saman itu pada 21 Julai 2020 mendakwa majlis makan malam tersebut bertema "Wawasan Kemakmuran Bersama 2030" itu berlangsung seiring dengan hari terakhir Kongres Kebangsaan PKR kali ke-14 di Melaka.

Beliau mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya beliau (Saifuddin Nasution) mengamalkan penipuan dan rasuah kerana beliau menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai PAS atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Saifuddin Nasution mendakwa bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong PH.

-- BERNAMA