KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pertemuan sebanyak lima kali dengan Tun Dr Mahathir Mohamad antara 2018 dan 2020 bukan untuk membincangkan mengenai kes jenayah dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu sebaliknya bagi menyelesaikan kemelut politik negara pada waktu tersebut.

Ahmad Zahid, 69, mendakwa dalam beberapa pertemuan itu, Dr Mahathir ada mencadangkan dan menggesa beliau supaya membubarkan parti UMNO dan menyeru ahli UMNO (khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada UMNO) untuk sertai Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pertemuan sebanyak lima kali itu antara 7 Jun 2018 dan 25 Feb 2020 berlaku di beberapa lokasi antaranya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ahmad Zahid, yang memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan Dr Mahathir, mendakwa perjumpaan bersama Dr Mahathir bukan sahaja dihadiri olehnya, malah turut disertai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain ketika itu seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dakwa Ahmad Zahid, perjumpaan itu diadakan susulan desakan daripada akar umbi ahli UMNO yang mahukan perubahan dalam hala tuju parti dan turut membincangkan antara lainnya kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Bersatu sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

"Namun, dalam perbincangan ini, defendan (Dr Mahathir) menggesa saya untuk bubarkan UMNO dan sertai Parti Bersatu.

"Oleh itu, dakwaan defendan (Dr Mahathir) bahawa saya cuba berbaik-baik untuk menyuarakan kes-kes jenayah dihadapi saya kepadanya adalah tidak benar dan tidak berasas," dakwa Ahmad Zahid dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan pada 31 Mei lepas.

Pada 17 Mei lepas, Dr Mahathir menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa Ahmad Zahid telah menyuarakan kerisauannya berhubung kes jenayah yang dihadapinya ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan antara 2018 dan 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 20 April lepas, Ahmad Zahid berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb 2022.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platform media sosial.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi berkata pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris hari ini, mahkamah menetapkan 5 Julai ini bagi pendengaran permohonan inter-parte.

-- BERNAMA