KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membantah pelantikan dua peguam untuk mewakili Tan Sri Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara itu.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Najib, berhujah pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung adalah tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman yang difailkan pada 22 Okt tahun lepas.

Beliau berkata Thomas selaku defendan pertama merupakan pengasas dan konsultan atau rakan kongsi firma guaman itu manakala rakan kongsinya juga memiliki kepentingan kewangan.

"Peguam daripada firma guaman yang sama tidak wajar mewakili Thomas kerana tindakan itu dilihat sesuatu yang tidak profesional," katanya pada pendengaran bantahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

Alan pula berhujah bantahan itu wajar ditolak kerana Najib perlu membuktikan melalui afidavit sokongan bahawa peguam yang mewakili Thomas memiliki kepentingan kewangan selain gagal mengekalkan profesionalisme di mahkamah.

"Thomas bukan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, beliau hanya konsultan dan tidak mempunyaI kepentingan kewangan dalam firma guaman tersebut. Thomas meninggalkan tetuan berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 dan beliau kemudian memasuki semula firma guaman itu sebagai konsultan pada September 2020," katanya.

Thomas telah meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Feb 2020.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk keputusan berhubung bantahan itu.

Najib, 69, memfailkan saman itu dengan menamakan Thomas dan kerajaan sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, Najib berkata beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Justeru, Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

-- BERNAMA