MALAYSIA
Kes saman SRC terhadap UMNO, UMNO Selangor diputuskan pada 24 Oktober

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam yang mewakili SRC International, GMSB dan JPSB selaku plaintif.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Okt untuk memutuskan saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd serta dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor berhubung dakwaan menerima dana sebanyak RM19.5 juta daripada syarikat terbabit pada 2015.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) selaku plaintif.
Turut berhujah peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili UMNO, dan Datuk Hasnal Rezua Merican yang hadir bagi pihak UMNO Selangor selaku defendan.
Menerusi saman terhadap UMNO, plaintif menuntut RM16 juta yang didakwa telah dipindahkan secara tidak wajar kepada parti politik itu dan menegaskan bahawa ia tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.Saman kedua pula membabitkan tuntutan sebanyak RM3.5 juta terhadap UMNO Selangor yang turut didakwa menerima dana itu secara tidak sah.
Terdahulu, Hasnal Rezua berhujah bahawa mereka telah memplidkan bahawa wang yang diberikan kepada UMNO Selangor sebenarnya adalah derma politik.
"Tiada keraguan serius di sini mengenai wang yang diterima oleh UMNO Selangor," katanya.
Razlan Hadri pula berhujah bahawa dakwaan berlaku pelanggaran tanggungjawab fidusiari telah dibuktikan.
"Berdasarkan pengakuan bekas Pengarah SRC International Datuk Suboh Md Yassin (saksi kedua SRC) yang telah menandatangani cek kosong serta bukti dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah, plaintif telah membuktikan berlaku pelanggaran amanah atau tanggungjawab oleh bekas pengarah berdasarkan imbangan kebarangkalian," katanya.
Sementara itu, Mohamed Shahrul Fazli mengulangi pendirian UMNO bahawa ia telah menerima dana sebanyak RM16 juta dan menggunakan sepenuhnya bagi melakukan aktiviti serta program di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami