PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli berkata beliau berasa janggal apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan telah mengenal pasti dua individu untuk dicadangkan bagi pertuduhan, ketika siasatan belum selesai.
Bekas Menteri Ekonomi itu menjelaskan, siasatan berhubung perjanjian usaha sama bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan syarikat Arm Limited dari United Kingdom (UK) itu, masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan untuk mencadangkan pertuduhan adalah di bawah bidang kuasa penuh SPRM serta pihak pendakwaan.
"Oleh itu, saya tidak bimbang mengenai perkara tersebut.
"Namun begitu, sebagai individu yang masih perlu hadir ke SPRM hari ini untuk memberikan keterangan, situasi ini agak pelik kerana siasatan masih berjalan. Pada masa yang sama, Tan Sri Azam Baki telah mengumumkan bahawa SPRM telah mengemukakan cadangan untuk pendakwaan.
"Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa keputusan telah dibuat sebelum siasatan selesai sepenuhnya. Tambahan pula, berdasarkan apa yang saya baca, beliau turut menyatakan bahawa masih terdapat dua orang saksi yang belum dipanggil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi menyambung keterangan hari ketiga.
Rafizi turut tidak menolak kemungkinan pihaknya boleh memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sekiranya perlu, khususnya bagi menjelaskan kenyataan tersebut, yang dibuat ketika siasatan masih berjalan.
Ahli Parlimen Pandan itu menambah, pihaknya yakin mempunyai asas pembelaan yang kukuh sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
“Jika keputusan dibuat untuk pendakwaan, kami akan bentangkan pembelaan yang kuat. Saya tidak bimbang,” katanya.
Ditanya mengenai siasatan setakat ini, Rafizi berkata soal siasat tidak melibatkan sebarang transaksi kewangan, sebaliknya tertumpu kepada prosedur berkaitan keputusan pelaburan tersebut.
“Sepanjang siasatan, ia tidak melibatkan satu sen pun. Semua soalan lebih kepada prosedur berkaitan keputusan usaha sama itu,” jelasnya.
Hari ini, Azam memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti dua individu untuk dicadangkan bagi pertuduhan berhubung siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada individu terbabit ialah Rafizi dan bekas pembantunya, James Chai.
Menurutnya, seramai 22 saksi telah dipanggil setakat ini bagi membantu siasatan.
Rafizi sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.