MALAYSIA
Kes Shila Amzah-Amy Search: Polis akan panggil dua lagi saksi

Amy Search dan Shila Amzah. (Gambar kecil: Mohamed Usuf) - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil dua lagi saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan selebriti Shila Amzah dan Datuk Amy Search.
Ringkasan AI
- Siasatan Kes Shila Amzah & Amy Search: Polis akan panggil dua lagi saksi untuk lengkapkan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, susulan insiden semasa latihan konsert.
- Kertas Siasatan Dirujuk ke TPR Putrajaya: Kertas siasatan selari dengan laporan balas Amy Search, sedang dalam proses penilaian oleh pihak pendakwaan.
- Kes Geng Samun di Cheras: Dua warga asing ditembak mati, polis sedang kesan baki ahli geng yang terlibat dalam kira-kira 34 kes pecah rumah dan samun.
Sebelum ini, Shila memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya dengan meluahkan rasa kecewa dan trauma terhadap kejadian yang berlaku secara terbuka di hadapan kru produksi ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR DIY yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 10 Julai lalu.
Siasatan polis kemudian mendedahkan punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati penyanyi lagenda berkenaan terhadap pengadu yang didakwa mencampuri urusan masalah keluarganya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berlainan, polis giat mengesan saki-baki ahli geng penjenayah samun bersenjata api dan pecah rumah yang ditembak mati di Cheras pada Jumaat lalu.
Mohamed Usuf berkata, beliau difahamkan terdapat kira-kira 34 kes membabitkan kumpulan terbabit.
“Banyak kes pecah rumah dan samun. Kita akan cari kuncu-kuncu geng terbabit,” ujarnya.
Dalam insiden tersebut, dua lelaki warga asing yang dipercayai dalang utama geng samun bersenjata api dan pecah rumah telah ditembak mati dalam Ops Aman 6 di Jalan Semerah Padi, Cheras. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami