KUALA LUMPUR: Hari ini pastinya akan menarik tumpuan ramai di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengetahui keputusan sama ada rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukumannya.

Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Nasib Najib diketahui hari ini

Astro AWANI senaraikan proses perjalanan kes beliau sebelum keputusan diketahui pada Rabu:

28 Julai 2020

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, namun tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan salah guna kuasa adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pertuduhan pengubahan wang haram adalah di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Beliau dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.


13 April 2021:

Selepas enam hari, pasukan pembelaan Najib selesai mengemukakan hujah di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ini merupakan cubaan pertama Najib selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau.

Ia setelah mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.


18 Mei 2021:

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang berlangsung selama 15 hari.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Prosiding rayuan bekas Perdana Menteri itu ditetapkan bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April, 19 hingga 22 April, 27 hingga 28 April dan 18 Mei.


7 Disember 2021:

Permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya ditolak Mahkamah Rayuan pada Selasa.

Ia selepas panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima mahkamah.

Selepas tujuh bulan hujah pasukan pembelaan mengemukakan 307 alasan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram.

Keputusan sama ada Najib bebas atau dikekalkan sabitan dan hukuman akan diketahui hari ini secara dalam talian.

BACA: Sabitan hukuman seleweng dana SRC, nasib Najib diketahui esok

BACA: Kes SRC International: Mahkamah Rayuan tolak permohonan masukkan bukti baharu