Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes dana SRC International Sdn Bhd.

Permohonan itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram yang mendakwa terdapat percanggahan dalam keterangan bekas perdana menteri itu di mahkamah dan kenyataan yang diberinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan Bernama, Sithambaram membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan.

Sebelum itu, Najib bersetuju dengan Sithambaram bahawa terdapat percanggahan serius dalam keterangannya dengan apa yang dicatatkan oleh SPRM.

Namun, Najib berkata terdapat alasan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan berkata, tiada percanggahan material dalam kenyataan Najib kepada SPRM dan keterangannya di mahkamah.

Oleh itu katanya, pihak pendakwaan boleh meneruskan sesi pemeriksaan balas kerana tiada alasan untuk melakukan proses pencabaran.

Pada 11 November lalu, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBD), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

BACA: SRC: Najib pilih bela diri menerusi keterangan bersumpah

BACA: Najib tiba untuk bela diri, sejarah pertama bekas PM di kandang saksi

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.