Peguam pembelaan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Harvinderjit Singh mengasak saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat berkenaan dokumen yang diberikan kepada panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk mendapatkan kelulusan berhubung pinjaman RM1 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Apabila memberi keterangan, Amirul yang merupakan bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, berkata beliau diarahkan oleh pengarah jabatan tersebut untuk menyediakan dokumen tersebut.

Namun, Harvinderjit berulang kali memberi tekanan bahawa 'recommendation' (cadangan) untuk memberikan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada SRC International merupakan cadangan saksi.

Amirul menafikan dakwaan tersebut dan berkata dokumen yang disediakan untuk panel pelaburan KWAP adalah sekadar untuk 'deliberation and consideration' (perbincangan dan pertimbangan).

Harvinderjit sekali lagi menekan Amirul.

Perbuatan peguam tersebut mengakibatkan saksi kurang selesa lalu satu pertelingkahan kecil berlaku antara mereka.


“Anda bertanyakan soalan kepada saya, bagi saya ruang untuk menjawab.

“Adakah anda mahu jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ atau apa?” tegas Amirul kepada Harvinderjit apabila peguam tersebut mencelah semasa beliau sedang menjawab soalan.

Amirul terus menafikan dakwaan Harvinderjit dan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa jika dokumen tersebut merupakan satu cadangan, ia akan mengandungi kata-kata bagi tujuan berkenaan.