KUCHING: Polis Sarawak masih menjalankan siasatan berhubung insiden tembakan yang membabitkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dalam kenyataannya berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat dari pakar patologi.

“Bedah siasat ke atas semua mangsa telah dijalankan dan jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing.

"Sampel barang kes meliputi sampel DNA, senjata api dan kelongsong peluru telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa saintifik.

"Telefon bimbit milik mangsa juga telah dihantar ke Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian ini," katanya.

BACA: Insiden tembakan kem TUDM: 'Nak hidup atau mati' - Suspek

Insiden Tembakan | Polis klasifikasikan sebagai kes bunuh

Sebelum ini, kata Aidi pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja siasatan selesai dan laporan pakar diperolehi.

“Maka orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan bagi menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi di balai pengawal tersebut.

Tiga anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.