Kes tetak abang ipar: Suspek masih pegang parang ketika ditahan

Seorang lelaki ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya, dalam kejadian pergaduhan di Kampung Pida 3 di sini pada petang Jumaat. - Foto Sinar Harian
JERLUN: “Ketika ditahan, suspek masih memegang parang sebelum akhirnya menyerah diri selepas kira-kira 15 minit dipujuk,” kata Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berhubung kejadian tragis di Kampung Pida 3 di sini pada petang Jumaat.
Ringkasan AI
- Mangsa ditemui mati dengan kepala terputus selepas pergaduhan di sawah padi berhampiran rumahnya.
- Suspek ditahan jam 8 malam setelah dipujuk selama 15 minit; parang sepanjang 30cm dirampas.
- Motif belum dikenal pasti, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Apabila polis tiba di tempat kejadian, suspek berada di rumahnya bersama sebilah parang di dalam bilik. Selepas kira-kira 15 minit dipujuk, suspek akhirnya menyerah diri kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sawah padi berhampiran rumah suspek.
“Kepala mangsa didapati terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh mangsa,” katanya lagi.
Tambah beliau, parang yang digunakan dalam kejadian itu berukuran kira-kira 30 sentimeter turut dirampas, dan suspek ditahan pada jam 8 malam selepas berjaya dipujuk untuk menyerah diri.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun, manakala mangsa merupakan abang ipar kepadanya. Kedua-duanya bekerja sebagai petani sawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Jarak antara rumah suspek dan lokasi mayat dijumpai adalah kira-kira 30 meter,” ujarnya.
Mohd Radzi berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca sebenar pergaduhan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala ujian urin terhadap suspek masih belum dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Suspek pula akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Sabtu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi tidak sahih berkaitan kejadian ini sehingga siasatan selesai,” katanya.
Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


