BANGI: Polis menahan dua remaja berusia 19 dan 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular kejadian langgar lari polis, di kawasan tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera Seksyen 9 di Bandar Baru Bangi, awal pagi Rabu. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pada pukul 3.04 pagi, polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kereta berkenaan. 

"Anggota terbabit menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kereta berkenaan dan mendapati seorang lelaki dan perempuan berada di dalam kenderaan itu.

"Sebaik sahaja polis mengarahkan pasangan itu keluar, suspek lelaki yang berada di tempat duduk pemandu bertindak memecut kereta dengan melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan kenderaan mereka," katanya  dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Langgar Lari Polis | Pasangan remaja ditahan

Mohd Zaid memberitahu, anggota yang berada di hadapan kereta itu terpaksa berpaut dalam keadaan kereta bergerak dengan jarak kira-kira 150 meter sebelum suspek berjaya memecutkan kenderaannya ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi.

Akibat daripada pelanggaran itu, salah seorang anggota polis katanya, mengalami kecederaan ringan serta motosikal rosak.

Beliau memberitahu, berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan, polis berjaya menjejak pasangan tersebut dan menahan mereka.

"Kita akan membawa mereka ke Mahkamah Bandar Baru Bangi pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman," tambahnya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 kanun sama kerana dengan sengaja menghalang tugas anggota polis.

Selain itu, siasatan ke atas mereka juga akan dilakukan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan kepada penjawat awam.