IPOH: Polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai isu tular di media sosial mendakwa ada anggota serta pegawai pasukan itu yang melindungi kegiatan jenayah di kawasan tertentu di daerah ini, yang disifatkan berunsur fitnah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata,  pihaknya memandang serius terhadap tohmahan itu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kata beliau, pihaknya menerima satu laporan polis hari ini, berhubung satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengguna akaun Facebook bernama ‘Antidadahrasuah Tamanku’ yang tular.

“Status Facebook yang dimuat naik itu pengguna tersebut telah mendedahkan nama beberapa kawasan yang dikatakan menjadi tumpuan aktiviti jenayah narkotik dan penjualan mercun iaitu di kawasan Pengkalan, Pasir Puteh, Kampung Sri Kinta, Station 18 dan Kampung Chempaka Sari, Ipoh.

“Pengguna akaun Facebook tersebut juga mendakwa bahawa kononnya pihak polis telah melindungi aktiviti-aktiviti jenayah dan mempunyai masalah integriti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yahaya berkata, siasatan awal pihak polis mendapati akaun Facebook itu disyaki palsu dan hanya digunakan untuk memuat naik status tersebut.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap maklumat-maklumat tersebut untuk mengesahkan kesahihan tohmahan ini,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.