SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk menyiasat lanjut kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

"Saya serahkan kepada pegawai penyiasat saya untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Hakim Sequerah yang membuat keputusan tersebut, menyatakan alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

-- BERNAMA