MALAYSIA
Kes Zara Qairina: Koroner baharu ganti Azreena dengar inkues

Ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, hadir di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini mengesahkan inkues berhubung punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan diteruskan seperti dijadualkan pada bulan depan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Koroner mengesahkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan diteruskan bermula 3 September ini.
- Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan dilantik sebagai koroner baharu menggantikan Azreena Aziz.
- Azreena menarik diri atas faktor lokasi kediaman yang berdekatan dengan sekolah Allahyarham, meskipun tiada hubungan langsung dengan individu terlibat.
Beliau berkata beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan kerana menetap di Papar, lokasi sekolah agama yang dihadiri Allahyarham Zara Qairina, walaupun beliau tidak mengenali nama-nama yang didakwa terbabit dalam kes itu.
Tarikh inkues telah ditetapkan pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept ini.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina untuk diiktiraf sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues serta mendapat akses kepada semua dokumen berkaitan kes tersebut.
Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan serupa daripada peguam yang mewakili lima remaja perempuan bawah umur yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu minggu lalu berhubung kes buli berkenaan.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus, yang akan bertindak sebagai pegawai pengendali dalam inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai. Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Berikutan itu, pada hari berikutnya, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi 10 Ogos di tanah perkuburan sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami