MALAYSIA
Kes Zara Qairina: Pegawai penyiasat didapati tak patuh SOP, tak mohon bedah siasat – Pengarah JSJ

M Kumar (tengah) pada sidang akhbar di Bukit Aman mengenai kematian Zara Qairina Mahathir. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Wujud unsur ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan SOP oleh Pegawai Penyiasat PDRM dalam kes kematian Zara Qairina, termasuk kegagalan memohon bedah siasat awal.
- Bedah siasat kedua telah dijalankan pada 10 Ogos atas permintaan polis, dan hasilnya selari dengan dapatan awal; polis dan AGC bersetuju untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian.
- Polis telah membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu termasuk dakwaan tidak sahih seperti Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan siasatan.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara dapatan awal siasatan oleh Pasukan Petugas Khas (Task Force) di peringkat Bukit Aman, yang telah bermula pada 11 Ogos lepas.
Dapatan atau penemuan awal pasukan ini mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan, di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk prosedur bedah siasat (post-mortem).
“Itu jelas dalam siasatan Task Force, dan saya beri jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap Pegawai Penyiasat tersebut, dan Ketua Bahagiannya kerana tiada pendirian.
“Bagaimanapun, saya perlu dedahkan bahawa terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa yang mohon supaya bedah siasat tak dibuat, dan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa dalam satu surat atau dokumen pihak hospital, dokumen itu juga ditandatangani oleh doktor patologis dan pegawai penyiasat,” katanya lagi.
Susulan perbincangan dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC), Kumar berkata, atas permintaan polis sendiri maka bedah siasat kali kedua telah dibuat pada 10 Ogos lepas, dihadiri oleh tiga pakar perubatan, iaitu seorang doktor dari Hospital Serdang, dan dua lagi dari Hospital Queen Elizabeth.
“Dan dapatan post-mortem itu sama seperti dapatan sewaktu diagnos kematian awal. Ekoran daripada itu, pada 12 Ogos (semalam) satu perbincangan dibuat dengan AGC, dan polis bersama AGC berpendapat inkues perlu dibuat,” katanya lagi.
Mengenai ketidakpatuhan SOP itu, Kumar menjelaskan, walaupun ibu atau waris si mati boleh memohon untuk tidak dilakukan sebarang bedah siasat, namun pegawai penyiasat sepatutnya mempunyai hak sekiranya terdapat unsur yang meragukan.
“Pada peringkat awal, as of now, mak (Zara Qairina) meminta supaya tidak perlu dibuat bedah siasat. Bagaimanapun proses itu diperlukan dalam undang-undang untuk menentukan punca kematian sebenar.
“Doktor ada cara untuk menentukan punca kematian, pertamanya melalui luaran dengan memeriksa kecederaan, dan satu lagi melalui dalaman iaitu pembedahan. Jika wujud sebarang keraguan, undang-undang mengatasi kemahuan (waris) dan Pegawai Penyiasat itu dibekalkan dengan undang-undang melalui Kanun Tatacara Jenayah untuk mohon proses bedah siasat,” katanya lagi.
Dalam pada itu Kumar berkata, secara keseluruhan polis telah membuka sebanyak 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu, termasuk dakwaan Zara Qairina telah dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Antaranya satu berita yang mengatakan adik Zara dimasukkan dalam washing machine. Polis telah siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan seorang perempuan berusia 39 tahun telah ditangkap untuk siasatan kes ini.
“Kes masih dalam proses siasatan. Selain itu, termasuk kes ini, polis buka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih dikeluarkan kerana suatu yang tidak sahih, tidak benar boleh ganggu gugat ketenteraman awam dan proses siasatan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami