Kes Zayn Rayyan: Zaim Ikhwan kekal bebas pertuduhan pengabaian

Pada 21 Julai lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 31, kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, tiga tahun lepas.
Ringkasan AI
- Bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, bebas daripada tuduhan mengabaikan anak autistik berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
- Mahkamah Tinggi membatalkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lepas, membebaskan Zaim Ikhwan.
- Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, diarah membela diri atas pertuduhan yang sama, manakala Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan.
Prosiding di hadapan Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali manakala Zaim Ikhwan diwakili Haresh dan peguam Ramzani Idris.
Pada 21 Julai lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan ibu kepada Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan sama.
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Pada 31 Okt lepas, Syahliza mendapati Ismanira, 31, bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu dihantar ke Penjara Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


