KUALA LUMPUR: Lebih 22,000 laporan kesan advers vaksin COVID-19 diterima melalui respons kendiri di aplikasi MySejahtera sejak 27 Okt lalu.

Jumlah itu bersamaan dengan 0.45 peratus laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan, kata Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 1,483 laporan, atau 0.03 peratus daripada setiap 1,000 dos vaksin, dikategorikan sebagai kesan sampingan yang serius.

"Semua kes yang dikategorikan serius akan disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan. 

"Laporan penyiasatan ini kemudiannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk menyelia atau (mengesan) hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil.

"Daripada jumlah kes serius setakat ini, terdapat 519 laporan yang merekodkan kes-kes kematian dalam kalangan penerima COVID-19.

"Namun demikian, selepas penyeliaan dilakukan, tiada kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19 yang telah diberikan setakat ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) yang meminta perincian berkenaan langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan vaksin diterima bersesuaian dengan kondisi badan penerima.

Mohd Redzuan juga mahu tahu berkenaan bentuk pampasan yang diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan selepas divaksinasi.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, setakat 29 Okt, sebanyak 74 permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 telah diterima.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 permohonan dalam pertimbangan jawatankuasa, manakala sembilan dalam pertimbangan badan induk bantuan khas tersebut. 

"Lima permohonan pula telah ditolak sebab tidak dikategorikan sebagai Adverse Events Following Immunisation (AEFI) dan dua permohonan tiada hubung kait secara langsung dengan penggunaan vaksin.

"Sehingga 29 Okt, masih belum ada permohonan yang diluluskan," ujar beliau.