Masyarakat terutamanya golongan pengkarya dan peniaga kini semakin sedar akan kepentingan mendaftarkan harta intelek masing-masing.

Ia terlihat apabila setiap tahun, dicatatkan secara purata 1,000 permohonan mendaftarkan harta intelek dibuat dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Secara total, 225,082 permohonan telah diterima dan 166,951 daripadanya berjaya didaftarkan sejak 2011 hingga April tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berpuas hati dengan perkembangan tersebut yang mana ia selaras dengan saranan Perdana Menteri untuk menjadikan bidang harta intelek sebagai satu bentuk sumber kekayaan baru negara.

"Bagi tahun 2015 sejumlah 33,021 daripada 45, 623 permohonan didaftarkan.

"Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada MyIPO kerana terus-menerus menjalankan kempen untuk menerangkan kepentingan mendaftarkan harta intelek," katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2016 di sini, pada Ahad.

Hamzah pada masa sama turut mengingatkan selain kepentingan mendaftarkan harta intelek, ia juga perlu didaftarkan dengan segera.

"Pernah berlaku sebelum ini di mana orang ini melihat dan mengenalpasti bahawa sesuatu harta intelek, lalu ditiru dan didaftarkan idea yang ditirunya itu, kemudian menyaman orang yang menghasilkan idea asal itu.

"Sebab itu perlu secepat mungkin daftarkan apa sahaja idea supaya ia menjadi harta yang dilindungi," jelasnya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pengkarya yang melihat dan mengenalpasti potensi mereka di negara luar juga untuk segera mendaftarkan harta intelek mereka di negara itu.

Ia supaya tidak berlaku sebarang kesulitan dalam usaha mengembangkan perniagaan di negara tersebut disebabkan pertindihan jenama, peniruan lebih awal oleh rakyat negara terbabit dan sebagainya.

Harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undang merangkumi cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hakcipta dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.