Keselamatan kanak-kanak dalam permainan dalam talian diteliti secara menyeluruh - Teo

Teo memaklumkan kerjasama dengan PDRM turut diperkukuh melalui operasi seperti Ops Pedo 1.0 pada tahun lepas dan Ops Pedo 2.0 pada tahun ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti isu keselamatan kanak-kanak yang menggunakan permainan dalam talian secara menyeluruh dan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta input yang komprehensif.
Ringkasan AI
- Kerajaan menyiasat keselamatan kanak-kanak dalam permainan dalam talian; adakan sesi libat urus untuk memahami kaedah kawal selia yang relevan dan berkesan.
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab dalam menangani aktiviti pedofilia dalam talian dan luar talian; tindakan diambil mengikut undang-undang yang sedia ada.
- MCMC memantau kandungan memudaratkan dalam talian dan menjalankan libat urus dengan penyedia platform untuk memastikan kepatuhan terhadap peraturan tempatan serta keselamatan kanak-kanak dalam talian dipertingkatkan.
"Tindakan tersebut merangkumi permohonan penurunan kandungan, siasatan lanjut, atau permohonan sekatan terhadap laman sesawang berkaitan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Meskipun begitu, ibu bapa perlu memantau penggunaan internet oleh anak-anak bagi mengelakkan pendedahan kepada elemen keganasan, jenayah, perjudian, dan ganjaran maya yang menggalakkan tingkah laku agresif. Perlu ditekankan bahawa peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai langkah diambil dalam memantau aktiviti pedofilia di ruang digital, termasuk media sosial dan platform permainan dalam talian yang sering digunakan oleh pelaku untuk mendekati mangsa bawah umur.
Teo berkata penguatkuasaan terhadap aktiviti pedofilia, sama ada dalam talian atau luar talian, adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dilaksanakan mengikut undang-undang seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan Kanun Keseksaan [Akta 574].
Katanya, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak.
"Tindakan akan diambil jika kandungan tersebut menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], seperti penerbitan bahan lucah atau jelik melibatkan kanak-kanak.
"MCMC juga menjalankan libat urus berterusan dengan penyedia platform bagi memastikan perkhidmatan dan algoritma mereka lebih telus serta mematuhi peraturan tempatan," katanya.
Menurutnya, kerjasama dengan PDRM turut diperkukuh melalui operasi seperti Ops Pedo 1.0 pada tahun lepas dan Ops Pedo 2.0 pada tahun ini bagi membanteras kandungan memudaratkan dan pedofilia.
Teo berkata kerajaan juga telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang mewajibkan penyedia perkhidmatan aplikasi, aplikasi kandungan dan rangkaian yang dilesenkan untuk mengawal selia kandungan memudaratkan.
"MCMC kini sedang memuktamadkan peraturan dan kod subsidiari di bawah akta tersebut, dengan tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dalam talian dan penetapan kandungan mengikut kesesuaian umur," katanya.
Beliau berkata MCMC juga sedang mengkaji kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna media sosial di Malaysia dengan fokus kepada rangka kawal selia, kesiapsiagaan infrastruktur negara, dan amalan pelaksanaan di peringkat antarabangsa bagi memastikan pendekatan yang dirangka menyeluruh dan selaras dengan keperluan semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


