KOTA KINABALU: Isu berkaitan keselamatan dan pembangunan ekonomi dibincangkan lebih lanjut semasa kunjungan hormat Perutusan Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Tan Sri Pandikar Amin Mulia kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, di Kota Kinabalu pada Khamis.

Ongkili berkata ia adalah antara isu utama yang diketengahkan semasa mesyuarat lebih kurang dua jam itu, yang mana perkara berkaitan kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dan pekerja asing dari negara jiran menjadi tumpuan.

Selain itu katanya, perkembangan terkini Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) turut dibincangkan.

"Kami turut menyentuh cadangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan, serta kesan limpahan ekonomi ke atas Sabah dan cabaran yang akan datang. Kami akan membuat lawatan ke sana tidak lama lagi.

“Selain itu, kami melihat potensi industri kelapa di Selatan Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ongkili berkata, Sabah dan Sarawak memainkan peranan utama dalam menghidupkan semula BIMP-EAGA sebagai penyelesaian untuk pemulihan sosio-ekonomi, sambil menambah bahawa langkah itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dari segi ekonomi.