KUCHING: Isu berhubung perkembangan ekonomi dan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia perlu ditangani dan ditingkatkan, selaras dengan hasrat negara jiran itu memindahkan ibu negaranya ke pantai timur Kepulauan Borneo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah and Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata pasukan keselamatan Malaysia menjangka wujud impak dan kesan daripada perpindahan ibu negara Indonesia itu, sekali gus menuntut penyediaan lebih banyak kemudahan dan tenaga kerja tambahan sebagai persediaan untuk mengawal sempadan.

"Selepas mendengar taklimat keselamatan oleh pihak imigresen, polis dan Majlis Keselamatan Negeri Sarawak, kita dapati isu projek tertangguh, dana tidak mencukupi dan kekurangan tenaga kerja, adalah antara masalah yang dihadapi oleh pasukan keselamatan di sempadan, selain cabaran sedia ada," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini selepas lawatannya ke pusat pemeriksaan sempadan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Malaysia-Indonesia di Tebedu dekat sini, beliau berkata Kerajaan Indonesia telah meningkatkan keselamatan sempadannya menjelang perpindahan ibu negara mereka, dan pihak berkuasa Malaysia seharusnya melakukan perkara yang sama dengan segera.

Beliau berkata isu-isu ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Kita tidak boleh menunggu lama untuk mula meningkatkan sempadan. Kita percaya aliran trafik akan menjadi lebih sesak sebaik sahaja pembinaan ibu kota baharu itu dijalankan," tambahnya.

-- BERNAMA