KUALA LUMPUR: Keselamatan siber perlu dilihat sebagai antara keutamaan keselamatan negara dan bukan sekadar isu teknologi maklumat (IT) berikutan kebocoran data sensitif kerajaan berpotensi memberi implikasi lebih besar kepada negara.
Pengarah Amalan Keselamatan Siber Aras Integrasi Sdn Bhd, Faurani Jaafar berkata, agensi kerajaan secara umumnya menyimpan dua kategori maklumat sensitif iaitu data peribadi rakyat serta maklumat berkaitan kerajaan termasuk perolehan aset.
Menurutnya, sebarang kebocoran membabitkan maklumat strategik seperti perolehan aset ketenteraan boleh membuka ruang kepada pihak luar mengetahui perancangan negara.
“Walaupun kita melihat perkara ini daripada perspektif keselamatan siber, keupayaan untuk mencegah insiden seperti ini sebenarnya menyumbang kepada keselamatan negara.
“Sebagai contoh, sekiranya maklumat berkaitan perolehan aset ketenteraan terjejas, negara lain berpotensi mengetahui aset yang akan kita peroleh dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Justeru, keupayaan melindungi aset negara menerusi inisiatif keselamatan siber seperti ini dapat membantu meningkatkan keselamatan negara,” katanya ketika ditemui media pada Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Aras Integrasi, Farul Mohd Ghazali berkata, Malaysia perlu membangunkan keupayaan dalaman yang mencukupi untuk menyiasat insiden siber tanpa bergantung sepenuhnya kepada penyedia teknologi luar.
Katanya, pembangunan teknologi tempatan bukan sekadar soal pemilikan, sebaliknya perlu merangkumi keupayaan mengendalikan, menyelenggara serta menambah baik teknologi kritikal secara berterusan menggunakan bakat tempatan.
“Matlamat akhirnya adalah untuk kita mendapatkan bakat terbaik di Malaysia dan memastikan mereka dapat membantu menghasilkan produk yang semakin baik.
“Isunya adalah persepsi yang menyebabkan nilai sebenar yang mampu kita bawa ke pasaran dipandang rendah. Dengan bakat yang kita miliki ketika ini serta keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI), apa yang kita ada sebenarnya setanding dengan teknologi dari luar negara,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan teknologi tempatan, Aras Integrasi membangunkan tiga platform keselamatan siber tempatan bagi menangani pelbagai aspek risiko siber dan penyiasatan digital.
Tiga platform itu ialah VoronCitadel yang memberi tumpuan kepada tadbir urus, risiko dan pematuhan bagi membantu organisasi mengurus tadbir urus siber, risiko digital, keterlihatan permukaan serangan serta risiko pihak ketiga.
Selain itu, GovSec adalah platform risikan ancaman dibantu AI yang membantu pasukan keselamatan mengenal pasti dan menilai potensi ancaman, manakala chainSENTRY pula platform risikan serta penyiasatan blockchain bagi tujuan pengesanan transaksi, analisis dompet digital dan penilaian risiko.
Kesemua platform itu dibangunkan menggunakan bakat dan teknologi tempatan dengan GovSec dibangunkan menerusi kerjasama bersama CyberSecurity Malaysia.
Faurani berkata, pembangunan berkenaan adalah sebahagian usaha Aras Integrasi memperkukuh keupayaan teknologi berdaulat selain menggunakan infrastruktur pengkomputeran sendiri bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Kami kini mempunyai 64 unit GPU dan tidak bergantung kepada infrastruktur awan untuk R&D. Ini memberi lebih kebebasan kepada pembangun kami untuk bereksperimen dan membangunkan teknologi sendiri,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu turut merancang memperluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan selain meneroka pasaran luar negara apabila teknologi dibangunkan mencapai tahap kematangan yang sesuai.