KUCHING: Keselamatan siber ialah satu tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif individu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keselamatan siber adalah satu isu kritikal yang memberi kesan kepada kerajaan, perniagaan dan individu.

"Dengan mendidik diri kita dan mengamalkan amalan digital selamat, kita boleh mewujudkan budaya keselamatan siber yang berkembang melewati persidangan ini," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023, di sini malam Jumaat.

Beliau berkata dalam dunia yang saling berhubung, dengan kehidupan insan yang semakin mengikut teknologi digital, perlindungan aset dalam talian dan mempertahankan identiti digital menjadi keutamaan.

"Kemajuan pesat teknologi membawa banyak manfaat tetapi ia juga membuka ruang baharu untuk ancaman dan serangan siber," katanya.

Dianjurkan oleh Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), persidangan tiga hari yang bermula hari ini menghimpunkan pakar keselamatan siber untuk membincangkan dan berkongsi pandangan terhadap trend, ancaman dan penyelesaian terkini keselamatan siber.

Mengulas mengenai persidangan itu, Fahmi berkata selain daripada sesi yang memberi maklumat, persidangan itu juga menawarkan peluang perangkaian kepada semua peserta.

"Menerusi persidangan ini hubungan dan kerjasama ini, kita dapat perkukuhkan bersama pertahanan keselamatan siber kita.

Saya menggalakkan setiap orang daripada kamu untuk melibatkan diri dalam perbualan yang bermakna, bertukar-tukar idea dan membentuk perkongsian yang akan menyumbang kepada sebuah ekosistem digital yang lebih selamat," katanya.

-- BERNAMA