KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 89 mangsa daripada 25 keluarga pagi semalam berbanding 52 mangsa daripada 14 keluarga pada Jumaat.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan pukul 8 pagi semalam berkata bagaimanapun secara keseluruhan jumlah mangsa di Melaka dan Selangor ketika ini turun kepada 122 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 254 mangsa daripada 65 keluarga yang dilaporkan Jumaat.

Menurutnya di Selangor, 19 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS SK Kota Warisan di Sepang berbanding 122 mangsa daripada 32 keluarga dalam laporan Jumaat, manakala jumlah mangsa di tiga lagi PPS yang beroperasi di Selangor kekal sama.

Di daerah Kuala Langat pula, 12 mangsa daripada tiga keluarga kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, manakala 52 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, dan enam mangsa daripada satu keluarga di Sekolah RTB Bukit Changgang.

Sementara itu PPS Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang di Kuala Langat, yang sebelum ini menempatkan 29 individu daripada lapan keluarga ditutup pagi semalam. PPS itu dibuka pada 9 Mac lepas.

Sementara itu di Melaka, satu-satunya PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di daerah Jasin sejak 8 Mac, masih menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga pagi semalam.

-- BERNAMA