Skip to main content

Malaysia

Al-Quran perlu dihayati, diamalkan bukan sekadar dibaca - Zulkifli

Zulkifli berkata Allah SWT menurunkan al-Quran untuk diselami dasar maknanya, dihayati dan diamalkan tuntutannya, serta dijadikan petunjuk dalam setiap langkah kehidupan. - Foto fail/BERNAMA
Zulkifli berkata Allah SWT menurunkan al-Quran untuk diselami dasar maknanya, dihayati dan diamalkan tuntutannya, serta dijadikan petunjuk dalam setiap langkah kehidupan. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Umat Islam diingatkan agar menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran, bukan sekadar membaca atau menghafalnya.
  • MTHQA ke-66 menekankan pentingnya penerapan nilai al-Quran dalam kehidupan demi keberkatan ummah dan kemakmuran negara.
  • Seramai 50 peserta dari 38 negara menyertai MTHQA ke-66, dengan penghakiman dijalankan secara telus dan profesional.

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan al-Quran sekadar bacaan dan hafazan, sebaliknya menghayati serta mengamalkan ajarannya sebagai panduan dalam membentuk pemikiran, nilai, akhlak dan kehidupan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata hubungan umat Islam dengan al-Quran tidak seharusnya bersifat luaran semata-mata kerana tuntutan yang lebih utama adalah menjadikan kitab suci itu sebagai sumber pedoman dalam setiap keputusan dan tindakan.

Zulkifli berkata Allah SWT menurunkan al-Quran untuk diselami dasar maknanya, dihayati dan diamalkan tuntutannya, serta dijadikan petunjuk dalam setiap langkah kehidupan.

“Dengan kefahaman ini, jelaslah bahawa hubungan kita dengan al-Quran tidak boleh bersifat luaran atau kosmetik semata-mata. Memperindah bacaan hanyalah sebahagian kecil daripada tuntutan.

“Sedangkan yang lebih utama ialah bagaimana kita mencukupkan diri dengan al-Quran dari sudut pemikiran, dari sudut nilai dan cara kita membuat keputusan dalam kehidupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Sirajuddin Suhaimee.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata penganjuran MTHQA tahun ini yang bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” membawa mesej bahawa keberkatan ummah dan kemakmuran negara tidak dapat dicapai secara sempurna tanpa penerapan nilai al-Quran dalam kehidupan seharian.

Beliau berharap penganjuran majlis berkenaan dapat meninggalkan kesan berpanjangan, khususnya kepada generasi muda, dalam memperkukuh hubungan mereka dengan al-Quran bukan sahaja melalui bacaan dan hafazan, malah pemahaman serta pengamalan ajarannya.

Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada guru al-Quran, para huffaz, institusi tahfiz, institusi pengajian tinggi serta ibu bapa yang memainkan peranan dalam menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi pelapis.

MTHQA ke-66 menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara, terdiri daripada 34 lelaki dan 16 wanita, selain melibatkan barisan hakim tempatan dan antarabangsa bagi memastikan proses penghakiman dilaksanakan secara telus, profesional dan berintegriti.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement