ADA belanjawan yang sekadar mengagihkan wang. Ada belanjawan yang cuba memujuk semua pihak. Dan ada belanjawan yang mempunyai keberanian untuk membuat pilihan.
Belanjawan MADANI 2027 berada dalam kategori ketiga.
Dengan kekuatan ekonomi keseluruhan RM510 bilion, belanjawan kelima Kerajaan MADANI bukan sekadar besar dari segi angka. Lebih penting, ia memperlihatkan dengan jelas pendekatan ekonomi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu membantu rakyat hari ini, tetapi pada masa yang sama berani membetulkan struktur ekonomi untuk hari esok.
Atas sebab itu, Belanjawan 2027 wajar disebut sebagai “Belanjawan Bertaring”.
Taringnya bukan pada retorik. Taringnya terletak pada keberanian kerajaan menggabungkan perkara yang lazimnya dianggap sukar untuk dilakukan secara serentak, iaitu meningkatkan perbelanjaan, memperbesar bantuan rakyat, menaikkan lantai gaji, merangsang pelaburan dan dalam masa yang sama terus menurunkan defisit fiskal.
Kerajaan menggerakkan kekuatan ekonomi keseluruhan sebanyak RM510 bilion berbanding RM470 bilion sebelumnya.
Daripada jumlah itu, RM376.8 bilion merupakan belanja mengurus Persekutuan, RM83 bilion belanja pembangunan, manakala selebihnya digerakkan melalui pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta, badan berkanun dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.
Dalam bahasa mudah, kerajaan tidak memilih jalan ekonomi yang defensif sebaliknya terus menekan pedal pertumbuhan.
Apa yang lebih penting ialah pedal itu ditekan tanpa membiarkan stereng fiskal terlepas daripada kawalan.
Defisit negara yang berada pada 5.5 peratus pada 2022 terus berada dalam trajektori menurun dan disasarkan kepada 3.3 peratus pada 2027, sebelum menuju 3 peratus pada 2028.
Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula dijangka turun kepada 63.7 peratus.
Di sinilah “taring” sebenar pendekatan PMX. Disiplin fiskal tidak diterjemahkan dengan memotong bantuan secara membuta tuli atau mengorbankan rakyat atas nama angka kewangan. Sebaliknya, reformasi digunakan untuk mencipta ruang fiskal supaya lebih banyak manfaat dapat dikembalikan kepada rakyat.
Contoh paling jelas ialah kos sara hidup. Lebih RM80 bilion diperuntukkan untuk subsidi, bantuan dan insentif.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula meningkat kepada RM16 bilion. Penerima STR boleh menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, manakala SARA MADANI turut diperluas kepada jutaan rakyat termasuk golongan M40.
Ini bukan lagi pendekatan kebajikan yang sempit. Ia merupakan bentuk fiscal redistribution, di mana ruang kewangan yang diperoleh melalui pembaharuan dan penyasaran dikembalikan kepada kumpulan yang memerlukannya.
Lebih berani lagi, Belanjawan 2027 mula menyerang akar sebenar kos sara hidup, iaitu pendapatan yang terlalu rendah.
Gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, melibatkan lebih empat juta pekerja. Kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.
Ini langkah yang signifikan. Malaysia tidak boleh selama-lamanya cuba menjadi ekonomi maju dengan model gaji murah.
Negara mahu menarik industri semikonduktor, kecerdasan buatan, aeroangkasa, teknologi digital dan pusat data, tetapi pada masa yang sama tidak boleh membiarkan pekerja berpendidikan terus bergelut dengan upah yang tidak setara.
Belanjawan ini memberikan isyarat bahawa zaman persaingan berasaskan buruh murah perlu beransur-ansur ditinggalkan.
Golongan M40 juga mendapat ruang bernafas. Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, sementara kadar cukai beberapa banjaran pendapatan diturunkan satu mata peratusan.
Kerajaan menganggarkan langkah tersebut memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Namun sebuah negara tidak boleh menjadi kaya hanya dengan mengagihkan bantuan. Kekayaan mesti dicipta.
Sebab itu satu lagi kekuatan Belanjawan 2027 ialah usaha menggerakkan pelaburan produktif dan industri bernilai tinggi.
GLIC melalui Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-Up) menggembleng RM25 bilion pelaburan domestik.
Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pula menyediakan RM1.2 bilion untuk membantu syarikat semikonduktor tempatan bergerak ke segmen lebih tinggi, manakala dana berjumlah RM2.1 bilion menyokong syarikat dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), digital, aeroangkasa dan peranti perubatan.
Pendekatan ini penting kerana Malaysia tidak memerlukan pelaburan yang hanya mencipta kilang. Kita memerlukan pelaburan yang mencipta teknologi, kepakaran, vendor tempatan, pekerjaan mahir dan gaji tinggi.
Sebab itu juga peruntukan RM8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat strategik.
Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sahaja menyediakan RM3 bilion bagi tiga juta peluang latihan kemahiran. Pelaburan tidak membawa makna besar jika akhirnya pekerjaan bernilai tinggi diisi tenaga luar kerana bakat tempatan tidak bersedia.
Dari sudut ekonomi politik, Belanjawan 2027 memperlihatkan kematangan pentadbiran PMX. Jika tahun-tahun awal Kerajaan MADANI banyak tertumpu kepada pemulihan keyakinan, rasionalisasi subsidi dan pembetulan fiskal, Belanjawan 2027 mula memperlihatkan fasa berikutnya di mana hasil reformasi diterjemahkan kepada pendapatan, pelaburan dan perlindungan sosial yang lebih besar.
Inilah perbezaan antara belanjawan populis dengan belanjawan bertaring. Belanjawan populis hanya memberi. Belanjawan bertaring memberi, membetulkan dan membina pada masa yang sama.
Jika Ekonomi MADANI sebelum ini dianggap sebagai kerangka, Belanjawan 2027 mula memberikan kerangka itu gigi dan taring.
Malaysia memerlukan belanjawan yang berani menggigit masalah lama, mempertahankan rakyat dan membuka ruang untuk negara menyerang peluang baharu. Inilah taring Belanjawan 2027.
Prof Dr Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dalam bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.