KUALA LUMPUR: Usaha menangani kesenjangan pendapatan dalam kalangan B40 dan M40 bukan sahaja perlu dilakukan sebaiknya, tetapi juga dalam kadar segera.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata impak daripada kesenjangan pendapatan itu akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan kesihatan mental.

"Jika kita lihat data yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara Mac hingga Oktober 2020, terdapat 266 kes bunuh diri dan kebanyakan kes disebabkan bebanan hutang dan masalah keluarga.

"Selain itu kita nampak ramai rakyat tertekan, tidak tahu apa yang hendak dilakukan, maka ramai yang terlibat dengan aktiviti seperti penipuan dan skim cepat kaya.

"Malah, kita boleh jangkakan masalah sosial, keruntuhan institusi keluarga, penceraian dan juga penderaan dalam keluarga juga akan berlaku.

"Ini rentetan daripada bebanan hutang dan tekanan-tekanan atau masalah hutang yang tidak dapat diselesaikan dalam keluarga," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Lebih daripada 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis COVID-19 yang memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia.

Lapor The Star pada Jumaat, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan untuk tahun 2019 memaklumkan, sekurang-kurangnya 8 peratus isi rumah memperlihatkan penurunan pendapatan di ambang pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia berkata pandemik COVID-19 yang berlanjutan akan menyebabkan jurang pendapatan semakin melebar di antara golongan B40 dan M40, termasuk antara mereka di bandar dan luar bandar, antara etnik mahupun negeri.

"Kita juga menjangkakan insiden peningkatan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia susulan kadar pengangguran kini di tahap 4.6 peratus pada April lalu.

"Kesan kepada penurunan pendapatan dan pekerjaan, bukan sahaja meninggalkan kesan dalam aspek ekonomi malah kesannya juga dapat dilihat apabila ia mengundang pelbagai isu-isu kesihatan mental," jelasnya.

Mengulas berkenaan lapan cadangan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), beliau menyokong penuh cadangan itu dan amat mengharapkan ia dilaksanakan dengan segera.

"Kita sebelum ini mungkin banyak fokus kepada golongan-golongan B40 dan banyak rungutan-rungutan mereka yang berada dalam golongan M40.

"Segala bentuk bantuan dan juga insentif perlu ambil kira kumpulan tersebut supaya mereka dapat sama-sama teruskan hidup.

"Saya juga merasakan satu tanggungjawab besar buat mereka yang terima bantuan ini untuk guna sebaik mungkin.

"Mereka kena ingat ini merupakan wang rakyat dan ia kena gunakan sebaik mungkin terutama untuk keperluan hidup dan pastikan kita dapat meneruskan hidup dalam situasi yang penuh cabaran ini," katanya.


19 Jun 2021: Fokus Minggu Depan

Antara cadangan Sekretariat EAC bagi pelaksanaan ekonomi digital ialah melaksanakan kempen di seluruh negara untuk syarikat mikro, kecil dan sederhana (MSME) menggunakan pendigitalan dan teknologi pintar termasuk menubuhkan meja sokongan digital di semua daerah; menyediakan geran dan insentif MSME beralih kepada digital dan mewujudkan taman khusus syarikat pemula digital wilayah.

Cadangan bagi penggunaan dan kemajuan teknologi ialah penubuhan pusat Revolusi Industri 4.0 (4IR) wilayah, memperkenalkan universiti technopolis, penubuhan 'Malaysia Media Lab' untuk menggalakkan teknologi dan penyelesaian 'Buatan Malaysia' dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi 'pengguna peneraju' bagi kemajuan teknologi 'Buatan Malaysia'.

Antara cadangan bagi penyediaan tenaga kerja masa depan ialah dengan guru dilengkapkan kemahiran terkini dan berdaya saing dengan landskap baharu ekonomi, memperkenalkan sistem penilaian berganda bagi pelajar iaitu penilaian berdasarkan sekolah dan penilaian berdasarkan peperiksaan nasional dan menilai semula prestasi universiti sejajar dengan mandatnya.

Bagi memantapkan penyampaian awam pula ialah mengukuhkan kerjasama antara kementerian dan agensi; memperkenalkan caj wajar bagi perkhidmatan awam; pembabitan langsung kerajaan hanya membabitkan manfaat strategik nasional dan menangani kegagalan pasaran.