KUALA LUMPUR: Pemandangan kanak-kanak melompat atau bermain di dalam lif mungkin kelihatan seperti kelakuan biasa dan tidak berbahaya tetapi seorang pakar industri memberi amaran keadaan yang sering dilihat di pangsapuri dan kompleks beli-belah ini boleh dengan cepat bertukar menjadi situasi kecemasan.
Setiausaha Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia Wong Weng Sum berkata kelakuan sedemikian boleh mengganggu operasi biasa lif yang seterusnya berpotensi menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba, terkunci atau rosak.
Advertisement
"Jika anak-anak ini bergerak atau melompat semasa lif beroperasi, ia akan menyebabkan keadaan tidak normal dan mengganggu operasi lif.
“Ia mungkin mencetuskan pemerangkapan dan jika itu berlaku, kakitangan teknikal yang diberi kuasa perlu datang dan menyelamatkan anda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Karnival Hari Pekerja 2026 di Unifi Arena, di sini.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun bersendirian di dalam lif, kerana ketinggian mereka mungkin tidak mencukupi untuk mencapai butang lif, terutamanya loceng penggera sekiranya berlaku situasi kecemasan.
"Jika mereka (kanak-kanak) tidak dapat mencapai untuk menekan butang loceng penggera, bagaimana untuk mengesan mereka? Sekarang ini CCTV ada audio-visual, mungkinlah anda boleh bercakap dengan mereka, mendengar apa yang mereka katakan atau apa sahaja tetapi bagaimana jika sesetengah lif tidak mempunyai CCTV? Kanak-kanak akan berdepan risiko," katanya memberi amaran.
Sementara itu, Wong berkata lif dan eskalator kini penting dalam kehidupan di bandar, dengan anggaran 106,000 hingga 110,000 unit beroperasi di seluruh negara yang semuanya di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Beliau berkata semua lif yang digunakan oleh orang ramai perlu mematuhi peraturan keselamatan, menjalani penyelenggaraan bulanan, dilakukan pemeriksaan setiap suku tahun dan membaharui pensijilan secara berkala bagi memastikan sistem keselamatan terus berfungsi.
"Sama ada di pangsapuri, pejabat atau pusat beli-belah, jika ia untuk kegunaan awam, ia mesti mematuhi peraturan keselamatan dan diperiksa secara berkala," katanya.
Walaupun terdapat peraturan yang ketat, Wong menegaskan tingkah laku pengguna masih menjadi aspek keselamatan yang penting, kerana keadaan terlebih muatan, pintu yang dibuka secara paksa dan pergerakan tidak normal di dalam lif juga boleh mengganggu ciri keselamatan yang direka untuk mencegah kemalangan.
Beliau berkata di bangunan bertingkat tinggi, ciri-ciri keselamatan tambahan disediakan, termasuk lif bomba untuk kegunaan kecemasan oleh anggota bomba setelah diaktifkan di bawah protokol ketat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Wong juga berkata lif moden dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk mencegah insiden serius.
Ketika pembangunan bangunan bertingkat tinggi semakin berkembang pesat di Malaysia, beliau berkata keselamatan lif kekal menjadi tanggungjawab bersama antara jurutera, pihak berkuasa, pemilik bangunan dan pengguna, termasuk kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko tersebut.
Sementara itu mengenai peluang kerjaya, Wong berkata bagi mereka yang berminat dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan lif boleh bermula dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan vokasional sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pensijilan kecekapan dalam SKM dan kursus Kompeten Lif, bergantung pada pengalaman dan peperiksaan kelayakan.
-- BERNAMA