Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak hanyut: Mangsa sering bermain di kawasan kejadian - Ibu

Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari kedua itu membuahkan hasil. Gambar kiri: Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum
Nordina Zulkarnain sugul menanti perkembangan terkini operasi SARnanak perempuannya yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Mahkota Cheras semalam. - Foto Sinar Harian

KAJANG: Kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus di Bandar Mahkota Cheras semalam, dikatakan sering bermain di kawasan berlakunya tragedi itu.

Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, berkata kawasan lapang bersebelahan Kondominium Sri Hijau itu sering menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain, termasuk anaknya, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum.

Advertisement

"Semalam dia main sebab semalam cuti bersama kawan-kawan lain yang juga penduduk di pangsapuri itu.

"Selepas kejadian berlaku, abang dia, juga anak kedua saya naik ke rumah dan bagi tau saya dan suami," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Nordina berkata suaminya kemudian segera menelefon talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.

Mengulas penemuan barangan di sekitar kawasan pencarian hari ini termasuk selipar,  beliau mengesahkan ia bukan milik anaknya.

Sementara itu, datuk mangsa, Zulkarnain Ahmad, 57, yang bergegas  dari Seremban ke lokasi kejadian semalam berkata dia merasa amat bimbang dan terkesan ke atas insiden yang menimpa cucunya itu.

"Saya rapat juga dengan dia. Saya tak boleh tidur sejak semalam. Hari ini, saya mengikuti pihak penyelamat mencari mangsa di sekitar kawasan pencarian,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh, sebelum dihanyutkan arus deras.

Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian yang berlaku itu pada 7.08 malam.

-- BERNAMA

Must Watch Video