MALAYSIA
KESUMA dalam proses pinda Akta 652, perkukuh TVET aras tinggi

Menteri berkaitan Steven Sim berkata akta itu kini hanya membenarkan pengambilan individu yang mempunyai kelayakan SKM sehingga Tahap Lima. - Foto Facebook KESUMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam proses meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) bagi membolehkan pengambilan pelatih dan pekerja yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Enam, Tujuh dan Lapan.
Ringkasan AI
- Kementerian Sumber Manusia sedang meminda Akta 652 untuk membenarkan pengambilan pelatih dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 6 hingga 8.
- Menteri Steven Sim umumkan beliau sendiri akan jalani latihan SKM bagi menunjukkan TVET setaraf pendidikan tinggi dan galakkan penyertaan lebih ramai.
- Pelbagai inisiatif diperkenal seperti Akademi dalam Industri dan Ilham KESUMA, dengan sasaran 20,000 latihan amali setahun serta potongan cukai untuk galak kerjasama industri.
"Kami berharap rang undang-undang itu dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini," katanya semasa berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan (NEF) 2025 di sini hari ini.
Pada September tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk mengiktiraf SKM Tahap Enam hingga Lapan sebagai setara dengan ijazah sarjana muda.
Sebagai antara langkah menekankan bahawa TVET adalah setanding dengan pendidikan tinggi yang lain, Sim turut mengumumkan bahawa beliau sendiri akan menjalani latihan SKM di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Melaka.
"Kerana saya ingin menunjukkan bahawa TVET adalah pilihan yang berdaya maju. Namun, bayangkan, jika pemimpin seperti anda, pemimpin korporat, majikan, anda sedar bagaimana TVET memainkan peranan kerana anda sedang melaluinya.
"Anda mungkin akan mengambil lebih ramai lulusan daripada aliran TVET selepas mengetahui cara ia berfungsi," katanya sambil mengajak sektor awam dan swasta untuk menyertai inisiatifnya itu.
Sim berkata kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun untuk pendidikan TVET dan apabila digabungkan dengan sumbangan daripada levi Pembangunan Sumber Manusia (HRD), jumlah perbelanjaan boleh mencecah hampir RM10 bilion setahun untuk pendidikan kemahiran.
"'Jika kita dapat menyatukan dan menyusun strategi, saya fikir kita pasti boleh menyediakan ekonomi kita, industri kita dan pekerja kita - rakyat Malaysia - untuk masa depan," katanya.
Sementara itu, Sim turut menggariskan visi KESUMA untuk membangunkan ekosistem pembelajaran TVET berkualiti tinggi, berdasarkan tiga tonggak utama, yang dirujuk sebagai "Triple A" - kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kekaguman (accessibility, adaptability dan admirability).
Mengenai kebolehcapaian, beliau berkata portal dalam talian sehenti dibangunkan secara dalaman oleh kementerian tahun lepas untuk memudahkan proses permohonan program TVET di seluruh negara, yang membawa kepada peningkatan 30 peratus pendaftaran berbanding pada tahap prapandemik
Berhubung kebolehsuaian, Sim mengetengahkan program Akademi dalam Industri (ADI), suatu inisiatif utama yang menerapkan latihan dalam suasana industri sebenar berbanding secara tradisional di kelas.
Sim berkata setakat ini, kementerian telah bekerjasama dengan hampir 2,000 syarikat, mewujudkan lebih 5,000 penempatan yang membolehkan pelatih menerima latihan langsung, dibayar dan memperoleh pensijilan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Beliau turut menyebut mengenai program Insentif Latihan Amali atau Ilham KESUMA, yang bertujuan mewujudkan 20,000 peluang latihan amali berstruktur setiap tahun, meletakkan kementerian itu sebagai satu daripada penyedia latihan amali terbesar di negara ini.
Bagi kekaguman, yang merujuk kepada menggalakkan penyertaan industri yang lebih besar, Sim berkata KESUMA menerusi TalentCorp menawarkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan berkaitan latihan.
Selain itu, kementerian juga menyediakan geran sepadan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya di kawasan luar bandar dan fleksibiliti dalam menggunakan levi HRD Corp untuk membayar elaun pelatih.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami