Konferensi pendidikan MADANI, platform rangka polisi perkasa ekosistem pendidikan Selangor

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata selain pelaksanaan dasar baharu, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada isu keselamatan di sekolah yang kini menjadi perhatian masyarakat. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Konferensi Pendidikan MADANI Selangor sebagai platform bagi merangka dasar ke arah memperkasakan ekosistem pendidikan negeri.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor melancarkan Konferensi Pendidikan MADANI sebagai usaha merangka dasar baharu untuk memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.
- Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata konferensi itu akan membincangkan isu keselamatan sekolah dan dasar pendidikan secara menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan.
- Beliau menegaskan pendidikan ialah tanggungjawab bersama dan menekankan pendekatan kebersamaan seperti semasa pandemik COVID-19 sebagai model reformasi pendidikan berkesan.
"Ia akan melibatkan lebih ramai pihak bagi kita melihat isu pendidikan dengan lebih komprehensif termasuk pengisian pendidikan hinggalah kepada isu keselamatan dan perkara-perkara lain.
"Kita akan libatkan beberapa kumpulan tertentu hingga kita berjaya mencipta beberapa polisi dan program yang mampu memperkasakan ekosistem pendidikan di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah? anjuran Kerajaan Selangor di Auditorium Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.
Forum dikendalikan Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi itu disertai empat ahli panel iaitu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Prof Dr Md Amin Md Taff, Ahli Dewan Negara Dr Jufitri Joha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.
Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata pendekatan kebersamaan yang diamalkan ketika mendepani pandemik COVID-19 sepatutnya dijadikan iktibar dalam menangani isu pendidikan negara ketika ini.
Beliau berkata pendidikan merupakan tanggungjawab bersama dan perlu digerakkan secara menyeluruh di semua peringkat termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat.
Tambah beliau ketika pandemik COVID-19 berlaku anjakan paradigma besar dengan munculnya 'pendekatan keseluruhan masyarakat', iaitu bagaimana masyarakat bertindak secara bersama untuk menyelesaikan masalah.
"Sekarang di depan mata, kita lihat bertimpa-timpa (kes membabitkan pelajar sekolah), dan orang sebut sekolah, sekolah, sekolah, sama seperti ketika pandemik, orang sebut hospital, hospital, hospital.
"Kalau paradigma ini berjaya diubah, reformasi pendidikan akan mencapai kejayaan atau hasil yang penting. Ini pengajaran penting yang kadang-kadang kita lupa ketika pernah gunakan semasa berhadapan pandemik COVID-19 dulu," katanya.
Penganjuran forum itu menjadikan Selangor negeri pertama menganjurkan perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkelentingan bagi meneliti cabaran dan hala tuju sistem pendidikan masa kini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami