KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal menubuhkan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) bagi melatih bakat tempatan dalam bidang reka bentuk cip dan pembuatan Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata penubuhan akademi itu selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dalam memacu Malaysia sebagai negara AI.
Advertisement
"Kita mahu label 'Made by Malaysia' terpampang pada litar bersepadu dan perisian AI di seluruh dunia.
“Bukan lagi sebagai pengguna teknologi, kita mahu jadi pencipta teknologi oleh itu KESUMA akan tubuhkan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) bagi melatih bakat reka bentuk cip dan AI," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan jemaah menteri.
Selain aspek teknologi, Ramanan turut mengumumkan inisiatif Klinik Gig Bergerak yang akan ditempatkan di lokasi strategik seperti hab penghantaran dan pusat bandar.
Beliau menjelaskan klinik itu bertujuan memudahkan urusan pendaftaran caruman PERKESO serta memberikan akses kebajikan terus kepada pekerja ekonomi digital.
"Kad Pekerja MADANI akan diperluas kepada pekerja gig berdaftar bagi membolehkan mereka mendapat pemeriksaan kesihatan percuma dan kaunseling mental terus di klinik bergerak tersebut," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata KESUMA sedang mereformasi 26 undang-undang perburuhan termasuk pengenalan Mobile Labour Court atau mahkamah bergerak bagi memudahkan akses keadilan kepada pekerja.
Beliau turut memaklumkan bahawa mulai Jun tahun ini, PERKESO akan melaksanakan Skim Lindung 24 Jam yang memberikan perlindungan kepada 9.6 juta pencarum sepanjang masa, walaupun ketika di luar waktu bekerja.
Had Umur Skim Lindung Kasih untuk suri rumah juga akan dinaikkan kepada 55 ke 60 tahun yang akan memberi manfaat kepada lebih 720,000 wanita.
Majlis tahunan yang disambut setiap 1 Mei itu ialah platform bagi menghargai sumbangan besar tenaga kerja negara selain memperkukuh ekosistem kerjaya menerusi penawaran peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Bertemakan ‘Pekerja MADANI Kesuma Bangsa’, sambutan itu menghimpunkan lebih 15,000 warga kerja daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara.
Antara tarikan utama ialah Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan 4,000 kekosongan jawatan menerusi platform MYFutureJobs dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.
Selain sesi temu duga terus bersama majikan, karnival itu menyediakan khidmat bimbingan kerjaya serta penyertaan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Turut memeriahkan sambutan pastinya Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara serta pameran teknologi industri.
-- BERNAMA