KUALA LUMPUR: Ketagihan terhadap rokok konvensional dan vape adalah berpunca daripada nikotin yang terkandung dalam kedua-dua produk tersebut.

Oleh itu, mudarat kesihatan akibat ketagihan itu adalah sama dalam kedua-dua kes, menurut Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin.

Timbalan Koordinator Nicotine Addiction Research and Collaborating Group (NARCC) Universiti Malaya itu berkata, lebih membimbangkan apabila remaja salah anggap bahawa ketagihan mereka adalah pada perisa dan bau sedangkan produk tersebut merosakkan kesihatan.

“Nikotin ada dalam rokok dan vape. Tanpa nikotin dalam vape, tidak ada sesiapa yang mahu beli. Nikotin dalam vape ini diletakkan perasa, perisa dan warna tiruan.

“Tanggapan remaja yang hisap vape adala,h mereka ketagih kepada perasa, perisa dan bau yang sedap. Apa yang mereka tidak sedar, bahan yang bernama nikotin inilah yang sebenarnya menyebabkan ketagihan,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Nur Amani berkata satu lagi tanggapan salah masyarakat ialah, vape tidak memberikan kesan buruk kepada kesihatan separah rokok konvensional.

Sedangkan, katanya, kedua-dua produk ini mengandungi nikotin yang mengakibatkan ketagihan.

“Sebab itu (pemain industri) mahu keluarkan nikotin daripada Akta Racun sebab nikotin ini bahan yang mesti ada dalam vape sebenarnya.

"Kalau bertukar daripada rokok konvensional kepada vape, tidak bermakna ia lebih selamat.

“Walaupun dalam vape sebenarnya ada lebih kurang 250 hingga 350 bahan kimia berbanding dengan rokok konvensional yang mempunyai 4,000 bahan kimia, ia tidak bermakna anda terjun tingkat 20 berbanding tingkat 13, anda tidak mati. Bezanya hanyalah sama ada anda mati cepat atau lambat sahaja,” jelasnya. 

BACA: Pengecualian diberi sebelum akta baharu, tiada tindakan boleh diambil terhadap penjualan, pemasaran vape - Khairy

Sehubungan itu, Nur Amani menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 - lebih dikenali sebagai Akta Generational End Game (GEG) - segera diluluskan untuk mengawal akses kepada produk tembakau, khususnya dalam kalangan remaja.

Terdahulu, kerajaan mewartakan tampalan, cecair, dan gel nikotin untuk bantu menghentikan tabiat merokok, serta cecair vape dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Mengikut notis yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada Jumaat, ia sebahagian daripada Perintah Racun Pindaan Senarai Racun 2023.

Agenda AWANI: Isu Cecair Vape Nikotin