HAMBURG : Mendesak gencatan senjata, hentikan pembunuhan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Pendirian Malaysia yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini menjadi tumpuan dunia.

MALAYSIA IALAH PALESTIN DI MATA DUNIA

Bahkan tidak keterlaluan untuk menyifatkan ia menjadi satu-satunya topik pertanyaan media kepada Perdana Menteri selain daripada perihal hubungan Malaysia-China.

Lebih-lebih lagi sejurus sidang media bersama Perdana Menteri dan Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Isnin lepas, Anwar ditujah dengan persoalan mengenai kedudukan Malaysia dalam isu Palestin semakin memuncak.

“Pendirian dasar luar negeri kami konsisten. Kami menentang penjajahan, aparteid, pembersihan etnik atau rampasan hak mana-mana negara, termasuk Ukraine dan Palestin.

“Kita tidak boleh memadamkan rampasan yang berlaku sejak 40 tahun lalu, yang telah membangkitkan tindak balas dan kemarahan rakyat tertindas.

“Kita tidak boleh mencari penyelesaian dengan bersikap berat sebelah dengan hanya lihat kepada satu insiden semata-mata dan memadamkan kezaliman yang berlaku sejak bertahun-tahun. Solusinya bukan sekadar pembebasan tahanan… tetapi adakah kita berhenti setakat itu?

“Bagaimana dengan penempatan haram dan sikap penceroboh haram ini? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang dirampas hak, maruah dan tanah milik mereka? Adakah ini tidak penting? Di mana tercampaknya kemanusiaa? Mengapa wujud hipokrasi ini?” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tiga soalan mengenai isu Palestin berbanding hanya satu soalan mengenai pelaburan Malaysia-Jerman.

Bahkan, kenyataan pembukaan Anwar mengenai kerjasama ekonomi tidak mendapat perhatian media yang meluas.

Astro AWANI juga dimaklumkan bahawa dalam pertemuan Perdana Menteri bersama Kober Foundation
serta temu bual dengan Deutsche Welle (DW) pada Rabu juga terarah kepada pendirian Malaysia mengenai Palestin yang disifatkan berisiko menghambat hubungan baik antara Malaysia dan Eropah.

KETEGASAN MELENTUR KEJUMUDAN

Namun, ada perkembangan yang positif bagi Palestin susulan ketegasan Malaysia apabila kritikan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kuat bergema di Senat Amerika Syarikat.

Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer pada Khamis (14 Mac) berkata, Netanyahu merupakan penghalang kepada keamanan.

“Sebagai penyokong Israel, ketika ini jelas pada saya bahawa perikatan Netanyahu tidak lagi diperlukan oleh Israel. Selepas insiden 7 Oktober, dunia berubah secara radikal dan warga Israel terperangkap dalam visi kepimpinan masa lampau.

“Tiada sesiapa lagi mengharapkan Netanyahu untuk lakukan sesuatu bagi memecahkan kitaran keganasan, menjamin kredibiliti Israel di pentas dunia dan berusaha kearah solusi dua negara,” katanya dalam sidang Senat.

Selain itu, Pada Jumaat, dilaporkan kerajaan Australia sudah di peringkat akhir untuk meluluskan AS$4 juta dana tambahan kepada Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Luar Negeri Australia, Penny Wong.

“Kerajaan Australia sedang memuktamadkan kemas kini perjanjian pendanaan (kepada UNRWA) yang akan turut melibatkan syarat ketat termasuk jaminan kakitangan tidak berpihak (kepada mana-mana pihak bertelagah) dan rantaian bekalan.

“Atas dasar itu dan selepas diteliti oleh Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan minggu ini, Australia menyambung semula dana kepada UNRWA,” katanya.

Ini lanjutan daripada lawatan rasmi Anwar ke Australia yang telah meminta rakan sejawatnya, Anthony Albanese untuk menyalurkan semula dana kepada UNRWA yang terperangkap dalam helah rejim Israel yang mendakwa badan dunia itu terlibat dengan kematian warganya pada 7 Oktober.

Untuk rekod sehingga hari ini, Israel tidak mengemukakan sebarang bukti jelas mengenai tuduhan yang dilemparkan.

MALAYSIA TETAP BERSUARA KETIKA DUNIA BISU

Peralihan lebih banyak sokongan kepada Palestin ini tidak berlaku dalam tempoh seminggu-dua.

Bagi Malaysia ia merupakan hasil daripada usaha berterusan Perdana Menteri menyuarakan keprihatinan terhadap Palestin, meskipun di saat pemimpin dunia ‘hilang suara’.

Sejurus tragedi serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober, pendirian Malaysia terkait hal kemanusiaan rakyat Palestin dinyatakan secara terbuka di dalam negara dan di pentas antarabangsa.

Perdana Menteri Anwar antara pemimpin dunia terawal menyatakan kebersamaan dengan rakyat Palestin dengan mendesak gencatan senjata dan pembukaan koridor kemanusiaan di Gaza.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim antara pemimpin dunia terawal menyatakan kebersamaan dengan rakyat Palestin dengan mendesak gencatan senjata dan pembukaan koridor kemanusiaan di Gaza. – Gambar fail REUTERS

Bahkan pada 17 Oktober tahun lalu, beliau juga secara terbuka memaklumkan hubungan baik Malaysia dengan sayap politik pejuang Hamas. Ini menjadi titik permulaan kepada tumpuan seluruh dunia kepada kedudukan Malaysia dalam tragedi berkenaan.

Semenjak itu juga, lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara membawa misi serampang dua mata.

Selain daripada meneruskan usaha menarik pelaburan ke Malaysia, pertemuan Anwar bersama pemimpin dunia di hadapan media antarabangsa menjadi platform Malaysia mengulangi kemestian menoktahkan penderitaan rakyat Palestin.

Bermula dengan kenyataan Perdana Menteri semasa pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud (22 Oktober), Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan (23 Oktober) dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi (23 Oktober).

Ia diikuti dengan ucapan membara Anwar di Himpunan Malaysia Bersama Palestin (25 Oktober) yang mendapat perhatian komuniti antarabangsa lantaran kritikan terbuka beliau kepada hipokrasi yang ditonjolkan negara-negara barat dalam menangani kezaliman zionis.

Palestin tidak lokek dari mulut Perdana Menteri dalam setiap pertemuan bersama pemimpin negara-negara asing.

Ini dapat dilihat dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte (1 November); Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (5 November) dan Naib Presiden China, Han Zheng (9 November).

Pastinya yang paling mencuri tumpuan apabila Perdana Menteri menyatakan pendirian Malaysia bersama rakyat Palestin dan mengkritik sikap bungkam negara-negara barat dalam persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 17 November lalu.

“Kami diminta untuk mengutuk serangan Ukraine, tetapi sebahagian (negara) kekal membisu terhadap kekejaman yang menimpa Palestin. (Insiden) Ini tidak menyentuh rasa keadilan dan belas kasihan mereka.

“Alangkah baiknya jika kita tetap teguh dalam mempertahankan keadilan, demi rakyat Palestin yang hilang nyawa… hentikan kekejaman ini. Hentikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak sekarang,” katanya dalam persidangan APEC di New York.

Seterusnya, Anwar pada 6 Mac di sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN-Australia telah menggesa supaya gencatan senjata kekal dilaksanakan serta-merta di Gaza.

Anwar mengingatkan pemimpin ASEAN dan Australia bahawa semua negara anggota ASEAN dan Australia telah mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan.

MENANGKIS ISLAMOFOBIA

Kekejaman zionis terhadap rakyat Palestin merupakan isu besar dan islamofobia yang membarah susulan 7 Oktober lebih besar.

Human Rights Watch (HRW) dalam laporannya pada Disember tahun lalu melaporkan Islamofobia kian meningkat di Eropah susulan insiden 7 Oktober di Palestin, yang membawa kepada pengharaman himpunan pro-Palestin dan tindakan-tindakan lain yang disifatkan sebagai menghalang kebebasan bersuara bagi pihak rakyat Palestin.

Lanjutan itu, Perdana Menteri Anwar mengadakan perbincangan dengan badan-badan pemikir Islam antarabangsa dalam jeda waktu jadual rasminya semasa lawatan rasmi ke Jerman pada Khamis.

Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri membincangkan perihal Islamofobia yang disifatkan semakin membarah di Eropah.

Pertemuan tersebut melibatkan International Institute of Islamic Thought (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).

Akhirnya, persoalan yang tinggal ialah selama manakah Malaysia dan rakyatnya akan kekal dijalur perjuangan ini demi kemanan dan keadilan untuk Palestin serta dunia sejagat?


* Irfan Faruqi ialah wartawan Astro AWANI yang mengadakan liputan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman.