ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) kira-kira jam 4.25 petang tadi.

Ketibaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu disambut lebih 1,000 penyokongnya yang menunggu sejak jam 2 petang di sekitar lapangan terbang berkenaan.

Penyokong yang tiba turut melaungkan 'takbir', 'hidup menteri besar' dan 'hidup Sanusi' sebaik sahaja beliau tiba selain berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau.

Ketibaan Sanusi di LTSAH turut disambut isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya; Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad; Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat; Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan barisan Exco kerajaan negeri.

Sanusi ditahan, apa untung apa yang rugi?

BACA: Kronologi kes Muhammad Sanusi atas tuduhan menghasut


Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak memberikan sebarang ucapan atau sidang media sebaliknya terus bergerak pulang ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon, Anak Bukit.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.