Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air terus melibatkan diri dengan kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan rundingan dan melanjutkan tarikh tamat tempoh Perjanjian Utama Air.

Selaras dengan ini, Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata beliau telah menulis surat kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk mengkaji semula keputusan membiarkan Perjanjian Utama Air itu lupus.

"Surat itu juga meminta supaya diadakan mesyuarat antara kedua-dua pihak diperingkat pegawai serta antara Menteri dan Menteri Besar, secepat mungkin," kata beliau dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ongkili berkata kenyataan Menteri Besar bahawa kedaulatan Selangor tergugat kerana Kerajaan Persekutuan bertegas mahukan tanah meliputi 26,000km kawasan paip di Selangor adalah mengelirukan dan membimbangkan rakyat Selangor.

Mengenai soalan media sama ada Kerajaan Persekutuan akan mengguna pakai Seksyen 114 WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air) untuk mengatasi kebuntuan ini, beliau berkata ini satu opsyen tetapi juga satu instrumen terakhir apabila rundingan gagal dan kepentingan negara tergugat.

"Kerajaan Persekutuan mempunyai hak untuk menggunakannya jika keadaan memerlukan," katanya.

Ongkili berkata mengguna pakai saluran perundangan juga satu pilihan kerana Perjanjian Utama yang ditandatangani sebelumnya antara pihak-pihak berkenaan pada 1 Ogos 2014 tidak boleh ditarik balik.

Bagaimanapun, Ongkili berkata kementerian yakin Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor boleh duduk bersama dan menyelesaikan semua pertikaian bagi merealisasikan Perjanjian Utama.

'Ini lebih-lebih lagi kerana kerajaan Selangor telah menunjukkan kesediaan untuk bertemu dan berbincang selanjutnya dengan Kerajaan Persekutuan tentang bagaimana untuk memulihkan Perjanjian Utama," katanya.

Pada Isnin, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membatalkan perjanjian itu kerana Kerajaan Persekutuan telah melanggar terma-terma Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 Sept tahun lalu.

Keputusan itu dikhuatiri mungkin menjejaskan pembinaan fasa satu projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang dijangka siap pada 2017 untuk memenuhi pertambahan permintaan untuk air yang dirawat.