MALAYSIA
Ketua Armada Bersatu mengaku tidak bersalah timbulkan kegentaran awam

Muhammad Hilman ketika tiba di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun TikTok bulan lalu.
Ringkasan AI
- Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan di TikTok dan mohon dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
- Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dengan jaminan ditetapkan sebanyak RM4,000 dan sebutan semula kes pada 9 Oktober.
- Peguam bela memohon jaminan minimum atas alasan kerjasama penuh tertuduh, manakala AGC memutuskan untuk mendakwa selepas meneliti kertas siasatan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam dan mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan tersebut dimuat naik menerusi akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ dan dilihat serta didengar oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 30 Julai lalu jam 2.09 petang.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.
Namun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
“Tertuduh merupakan seorang wakil rakyat yang dikenali ramai dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Beliau mencadangkan jaminan pada kadar RM3,000 tanpa syarat tambahan bagi membolehkan tertuduh terus menjalankan tugas sebagai ADUN.
Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti kertas siasatan berhubung kenyataan yang dimuat naik Muhammad Hilman, sebelum memutuskan untuk mendakwa beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami