SEREMBAN: Seorang ketua pembantu tadbir sebuah sekolah direman selama enam hari bermula Selasa selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah kira-kira RM22,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Seremban, Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pagi ini.

Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 4 petang Isnin di pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini.

"Suspek dipercayai menjadi perancang utama melakukan perbuatan tersebut bersama isterinya dan seorang pemilik syarikat pada Disember 2022 serta Januari 2023 yang mana kedua-dua pembekalan tidak dilaksanakan sedangkan bayaran penuh sudah dibuat.

"Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan manakala isterinya yang juga seorang pembantu tadbir di sebuah sekolah lain dan pemilik syarikat tidak ditahan," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -Sinar Harian