Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan kenyataan mengenai amaran lokasi serangan pengganas Daish di Kuala Lumpur yang didakwa dikeluarkan oleh PDRM.

Kenyataan tersebut semakin tersebar di media sosial dan juga perkhidmatan pesanan, WhatsApp.

Menerusi laman Twitter rasminya, Khalid menegaskan bahawa senarai amaran itu tidak dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.





Sebelum ini, orang ramai melahirkan rasa bimbang selepas kenyataan amaran itu viral di media sosial dan juga WhatsApp.

Kenyataan itu menasihati orang ramai untuk mengelakkan diri daripada mengunjung beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Antara kawasan yang dilarang ialah Publika, Bangsar, Mid Valley, KL Tower, Kuala Lumpur Centre, Bukit Bintang dan juga semua stesen perkhidmatan LRT.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak kerajaan mengeluarkan amaran tersebut serta mengesahkan salah satu kawasan itu akan menjadi sasaran pengganas Daish.



Bagaimanapun, ini bukan kali pertama khabar angin sebegini tersebar di media sosial.

Pada awal tahun ini, Khalid turut menggesa orang ramai untuk berhenti menyebarkan berita kononnya beberapa tempat di Lembah Klang menjadi sasaran kumpulan militan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas senarai amaran viral di media sosial sehingga membimbangkan orang ramai.