KUALA LUMPUR: Keutamaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ialah menjaga kestabilan institusi adat.
Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata institusi adat sedang berdepan dengan pelbagai cabaran yang wajar dinoktahkan dengan sebaiknya.
"Saya hendak maklumkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Ismail Lasim), sebenarnya dia berkuasa. Dialah yang jaga duit; belanja, Negeri Sembilan itu...
“Banyak perkara yang antara Undang, perbilangan dan adat. Ini isu yang belum selesai lagi... Menteri Besar mesti berperanan. Peranan paling besar bukan sahaja (jaga) rakyat, bahkan kestabilan institusi Adat Perpatih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Pada Ahad, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Istiadat tersebut berlangsung selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) memutuskan, Datuk Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang atau tidak pernah secara sah memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.
Menurut DKU, ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diperuntukkan di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.