NATIONAL
Kewangan peralihan kunci kepada masa depan rendah karbon Malaysia - Wahid Omar

Abdul Wahid berkata kewangan peralihan berfungsi sebagai jambatan yang memperkasakan industri tradisional berkarbon tinggi untuk beralih ke arah model perniagaan yang mampan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kewangan peralihan adalah penting dalam memacu Malaysia untuk berubah ke arah ekonomi rendah karbon, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata kewangan peralihan berfungsi sebagai jambatan yang memperkasakan industri tradisional berkarbon tinggi untuk beralih ke arah model perniagaan yang mampan.
"Ini termasuk industri yang sukar untuk mengurangkan karbon seperti pembuatan keluli, simen, dan kimia, yang walaupun menjadi asas kepada ekonomi, tetapi merupakan penyumbang utama kepada jejak alam sekitar," katanya dalam ucapan prarakaman pada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Nasional di sini hari ini.
Kewangan peralihan merujuk kepada pelaburan yang menyokong sektor-sektor pelepasan tinggi seperti tenaga dan pembuatan untuk beralih secara beransur-ansur ke arah operasi yang rendah karbon dan mampan.Abdul Wahid berkata kira-kira 20 peratus daripada ekonomi Malaysia berkait dengan sektor-sektor pelepasan tinggi.
"Industri logam sahaja menjana 23 juta tan pelepasan setara karbon dioksida, manakala industri kimia dan simen masing-masing menyumbang sembilan juta tan dan 18 juta paun. Sektor sisa, sementara itu, mengeluarkan 57 juta paun karbon dioksida.
"Secara kolektifnya, sektor-sektor ini menyumbang 32 peratus daripada pelepasan negara pada 2019," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa tanpa kewangan peralihan yang mantap dan bersasar, sektor-sektor itu akan menghadapi kesukaran dalam usaha menyahkarbon dan mengekalkan daya maju ekonomi.
Abdul Wahid turut memetik penemuan oleh Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), yang menganggarkan bahawa ASEAN memerlukan US$29.4 trilion untuk membiayai peralihan tenaganya menjelang 2050.
"Bencana seperti banjir dan cuaca ekstrem terus menjejaskan ekonomi dan komuniti, dengan Asia Tenggara mengalami lebih daripada 75 juta penduduk yang dipindahkan akibat kejadian cuaca ekstrem sejak sedekad lalu," katanya.
Abdul Wahid juga berkata di sebalik kepentingannya, kewangan peralihan masih menghadapi cabaran besar disebabkan oleh insentif kewangan yang terhad dan ketidaktentuan teknologi.
"Dalam menangani cabaran ini memerlukan usaha bersama daripada penggubal dasar, pengawal selia, institusi kewangan dan perniagaan.
"Secara ringkasnya, semakin jelas kita mentakrifkan dan menyokong kewangan peralihan, semakin cepat kita dapat menggerakkan pelaburan yang diperlukan, yang penting untuk mencapai masa depan rendah karbon," katanya.
Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Nasional dianjurkan setiap tahun oleh Climate Governance Malaysia untuk menangani cabaran perubahan iklim melalui tadbir urus, tanggungjawab kewangan dan campur tangan dasar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami